Sabtu, 12 Mac 2016

Perkasa tugas isteri, ibu bukannya berhenti kerja

Perkasa tugas isteri, ibu bukannya berhenti kerja
Gambar hiasan


SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas Pusat menegaskan cadangan supaya fungsi dan tugasan sebagai isteri serta ibu bukan bermaksud mereka perlu meninggalkan kerjaya di luar rumah.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pemerkasaan itu sewajarnya dilakukan dengan meletakkan tugasan sebagai isteri dan ibu sebagai keutamaan disamping kerjaya seharian sebagai tugasan kedua.

"Tugasan sebagai isteri dan ibu adalah tugasan utama yang jika tidak dilaksanakan keluarga tidak mungkin bahagia meskipun harta membukit dan menggunung.

"Kerjaya yang bertujuan mencari rezeki sepatutnya menjadi alat dan medium dan bukannya matlamat. Ia bertujuan membantu memenuhi keperluan jasadiyyah makan dan minum serta kehidupan fizikal," katanya.

Menurutnya, kerosakan sosial hari ini berlaku apabila wanita berkeluarga mengutamakan kerjaya lalu mengabaikan tugasan utama sebagai isteri atau ibu.

"Lebih merosakkan apabila sebahagian pergerakan wanita hanya menyeru wanita untuk berkerjaya tetapi tidak menyeru wanita memperkasakan institusi 'isteri' dan 'ibu'.

"Malah ada yang bergerak songsang seolah memperkecilkan kedua-dua institusi tersebut," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yang juga  Ahli Majlis Syura Ulama berkata, sebelum ini beliau ada mencadangkan pengurangan tempoh masa bekerja bagi wanita berkeluarga daripada 8 jam sehari kepada 5 atau 6 jam sehari.

"Tetapi dengan gaji yang sama seperti lelaki yang bekerja selama 8 jam sehari.

"Meskipun kelihatan sukar kerana melibatkan kos, ia adalah satu hadiah bagi wanita yang sudah berkeluarga," katanya.

Tambahnya, kerjaya sebagai usahawan pada bidang yang tidak menuntut wanita menghabiskan sebahagian besar masa mereka di luar lingkungan keluarga perlu diperkasakan dan menjadi sebahagian sasaran kempen pergerakan wanita.

Tiada ulasan: