PERANG diayah oleh Umno dan kerajaan terhadap “Deklarasi Rakyat”, pendukung dan penyokongnya dijangka menjadi lebih sengit.
[Tandatangani Deklarasi Rakyat di sini]
Di sebalik penampilan ketenangan dan keyakinan, Umno dan kerajaan sebenarnya bimbang dengan momentum deklarasi Selamatkan Malaysia itu.
Saya tidak menyalahkan mereka. Malah saya faham keterdesakan mereka. Implikasi deklarasi itu ke atas psikologi rakyat jelata semakin positif dan bertambah negatif terhadap Umno dan kerajaan.
Kita boleh membahagikan saluran perang saraf Umno dan kerajaan ini kepada beberapa kategori orang dan pihak.
Antara mereka adalah:
1. Penjawat awam. Mereka yang tugas asasinya mempertahankan kerajaan. Mereka ini akan mempertahankan kerajaan dan, sekali gus Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, kerana tugas. Setuju atau tidak mereka terpaksa akur.
2. Kelompok politik, iaitu mereka yang naik atau kekal dalam jawatan kerana Mohd Najib.
3. Golongan perniagaan yang mendapat projek kerana rapat dengan Perdana Menteri dan usahawan bona fide yang mendapat kontrak rasmi daripada kerajaan.
4. Media massa arus perdana yang dimiliki kerajaan, parti-parti BN dan individu yang mendapat habuan (rasmi dan tidak rasmi) daripada Mohd Najib.
5. Laskar siber upahan Umno, BN dan individu yang mendapat habuan (rasmi dan tidak rasmi) daripada Mohd Najib.
Ada kalangan penerima dedak yang
secara terbuka mengaku mereka menerima wang tunai hingga berjuta-juta ringgit
daripada Mohd Najib dalam usaha mereka memberi kredibiliti kepada dakwaan bahawa “derma” RM2.6 bilion dalam akaun
peribadi beliau adalah untuk kegunaan parti.
Tidak Ada Pilihan
Mereka mengutuk dan memesongkan
fakta mengenai “Deklarasi Rakyat” kerana itu tugas dan kewajipan mereka. Saya
tahu ada kalangan mereka yang faham dan bersimpati dengan ikrar itu tetapi
tangan mereka diikat dan mulut mereka
disumbat.
Tetapi ada juga yang memang
tidak faham. Otak mereka mendidih dan hampir meledak melihat musuh lama seperti
Dr Mahathir dan Lim Kit Siang duduk bersama. Otak mereka tidak boleh menerima apa yang mereka lihat itu.
Misalnya, seorang wartawan kanan
menulis dalam Utusan Malaysia pada 10 Mac mengatakan deklarasi itu “tidak dapat
diterima akal”.
Dalam mukadimahnya, wartawan itu
berkata: “BIAR dilihat dari sudut mana sekalipun, kempen dikenali sebagai
‘Deklarasi Rakyat’, atau lebih tepat jika disebut ‘Deklarasi Mahathir’,
pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan
Datuk Seri Najib Tun Razak daripada jawatan Perdana Menteri, tidak dapat diterima
akal.”
Saya hantar pesanan ringkas
(SMS) berikut kepada beliau: “Baca tulisan Tok.
Setuju. Memang tak masuk akal bagi sesetengah orang. Ia langkah luar biasa dan revolusioner. Ia hanya masuk akal bagi orang (yang) anjal dan dalam pemikirannya.”
Setuju. Memang tak masuk akal bagi sesetengah orang. Ia langkah luar biasa dan revolusioner. Ia hanya masuk akal bagi orang (yang) anjal dan dalam pemikirannya.”
Pemikiran mereka terlalu sempit
dan partisan sehingga apa saja di luar daripada norma harian dan melepasi garis
politik parti adalah tidak dapat diterima akal. Ini adalah kerana akal mereka
tertutup dan dipagari kuat oleh ideologi politik serta pertimbangan peribadi.
Saya tidak harian dengan hujah
jalanan watak-watak seperti Jamal Mohd Yunos, Ahmad Maslan, Abdul Rahman
Dahlan, Annuar Musa, Salleh Said, Tengku (dulunya Teuku) Adnan Mansor dan “The
Boss” Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Tapi apabila seorang yang
dianggap cendekiawan seperti Rais Yatim juga turut mengeluarkan hujah yang
lebih kurang serupa, saya hairan, lebih-lebih lagi apabila beliau memberikan
gambaran yang bertentangan apabila berjumpa saya.
Rais adalah antara pemimpin Umno
yang tidak kembali menyertai Umno selepas krisis 1987/88 sebaliknya menyertai
parti serpihan Semangat 46.
Bukan itu sahaja. Beliau
bersumpah bakar jambatan (burning the bridge).
Tetapi apabila S46 dibubarkan
dan Dr Mahathir mencampakkan pelampung keselamatan, Rais menerimanya dan
dilantik semula menjadi menteri.
Saya pernah bertanya Dr Mahathir
ketika beliau masih Perdana Menteri mengapa beliau membawa balik ke dalam
Kabinet orang yang menentang beliau seperti (Tun) Abdullah Ahmad Badawi dan
Rais.
Beliau menjawab: “Saya tidak
bawa mereka balik. Umno yang mahukan mereka. Sebagai Presiden Umno, saya kena
hormat kehendak parti.”
Bagi Dr Mahathir, kehendak parti lebih
penting daripada perasaan Presiden.
Sekarang Dr Mahathir tidak ada
kuasa lagi dan yang menjadi talian hayat kepada orang macam Rais ialah Mohd
Najib. Mungkin Rais tidak ada agenda
lain selain pangkat dan kedudukan dan boleh jadi juga ketika beliau “membakar
jambatan”, beliau lupa bahawa jambatan yang dibakarnya tidak dimakan api.
Padah Jenayah
Saya tahu yang mereka tahu,
iaitu jika Mohd Najib jatuh ramai daripada mereka akan hilang kerja atau silap-silap masuk penjara.
Justeru itu, mereka akan
berusaha bermati-matian mengekalkan beliau kerana padah kehilangan beliau dan
kekalahan Barisan Nasional adalah amat menggerunkan.
Hatta jika BN terus berkuasa
sekali pun, sesiapa saja yang menggantikan Mohd Najib tidak boleh dan, saya
yakin tidak akan mengulangi perbuatan beliau.
Masalahnya, tidak ramai pemimpin
Umno/BN yang boleh diharapkan untuk keluar daripada acuan yang Mohd Najib
tinggalkan. Mereka terlibat bersubahat dan bersekongkol dengan beliau.
Jawapan jangka panjang kepada kemelut
Malaysia terletak di tangan pengundi. Itu pun kalau sistem dan amalan pilihan
raya diubah untuk menjadikannya lebih bebas, adil dan telus.
Tetapi yang bersalah
bersekongkol dan bersubahat dengan Mohd Najib akan menanggung padahnya.
Mereka
ini termasuklah anggota Kabinet, ahli Majlis Tertinggi Umno, ketua-ketua
bahagian Umno dan kakitangan awam pangkat tinggi macam Peguam Negara, Ketua
Setiausaha Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis
Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan dan ahli lembaga pengarah
eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Tabung Pelaburan Berkaitan
Kerajaan (GLIC) yang terlibat dengan 1MDB, “derma” RM2.6 bilion dalam akaun
peribadi Mohd Najib dan kebocoran RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Secara perseorangan atau
berkumpulan mereka akan disiasat dan jika ada bukti akan dituduh di mahkamah.
Yang akan menerima padah paling buruk adalah kakitangan awam dan eksekutif GLC
dan (GLIC).
Seperti pernah saya katakan, apabila ahli politik berbohong
ia adalah tipu helah tetapi apabila kakitangan awam berbohong ia adalah
jenayah.
Perang siber Umno makan tuan
Laskar siber kerajaan, Umno dan Barisan Nasional menerpa untuk memutarbelitkan “deklarasi rakyat” seperti hereng menerpa bangkai.
Mereka memberikan pelbagai nama dan gelaran yang salah dan negatif bagi meracuni serta menakut-nakutkan rakyat jelata bahawa ini adalah konspirasi Cina untuk menguasai negara.
Mereka menuduh Dr Mahathir gila kuasa,
nyanyuk, mahu kembali menjadi Perdana Menteri semula, lebih teruk daripada Mohd
Najib dan pelbagai lagi.
Dua perkara telah berlaku kepada
operasi perang siber mereka.
Pertama, mereka dibelasah teruk
oleh pembahas yang tidak setuju dengan Mohd Najib dan mahukan beliau berhenti.
Kedua, laskar siber ini berperang
sesama sendiri kerana mendakwa mereka lebih setia dan berjasa kepada Mohd
Najib.
Maki hamun sesama mereka sama
teruknya dengan maki hamun mereka terhadap Dr Mahathir dan peserta “Deklarasi
Rakyat”.
Dengan kegagalan mereka mengatur
dan menguasai agenda perang siber,
kemungkinan kerajaan mengenakan sekatan yang lebih luas ke atas media bebas
atas talian tidak boleh diketepikan.
Mereka juga mungkin menggunakan
kaedah teknologi seperti mengurangkan kelajuan Internet dan tidak memperbaiki
kerosakan talian dengan pantas. Di kawasan luar bandar ada laporan mengatakan
ia mengambil masa hingga seminggu antara tempoh waktu membuat aduan dan
pemulihan talian.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan