Rabu, 9 Mac 2016

Penolong pendaftar tanah saman bekas ketua pengarang berita TV3

MALAYSIAKINI




Seorang penolong pentadbir tanah Temerloh memfailkan saman fitnah terhadap bekas ketua pengarang berita TV3 Mohd Khaidir Ahmad berhubung beberapa kenyataan di laman Facebooknya sekitar Mei tahun lalu.

Mohd Iqbal Zainal Abidin, 30, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 14 Ogos lalu dan kes itu disebut di hadapan hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini Hassan Abdul Ghani hari ini.

Peguam T Gunaseelan dan Ikmal Hisham Idris yang mewakili Mohd Khaidir, 54, selaku defendan, memberitahu bahawa mahkamah menetapkan 28 April depan untuk memberi keputusan terhadap permohonan mereka untuk meminda pernyataan pembelaan.

"Permohonan kami berasaskan keputusan Mahkamah Rayuan membatalkan saman menteri besar Pahang Datuk Seri Adnan terhadap Utusan Melayu (M) Sdn Bhd atas alasan penjawat awam tidak mempunyai locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) bagi menyaman atas alasan fitnah dalam hal berkaitan tugasnya," katanya kepada Bernama selepas prosiding dalam kamar selesai.

Kes itu pada asalnya dijadualkan sebagai perbicaraan selama dua hari bermula hari ini dan pada prosiding itu, peguam Adnan Seman@Abdullah mewakili plaintif.

Berdasarkan writ saman, Mohd Iqbal mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan beransur fitnah dalam akaun Facebook 'Khaidir Ahmad' antara 21 dan 24 Mei lalu yang mengundang pelbagai komen negatif dan tidak benar daripada defendan dan rakan laman sosialnya.

Plaintif mendakwa semua kenyataan itu membawa maksud beliau seorang pegawai yang korup dan terlibat rasuah, menyalahguna kuasa, berniat jahat terhadap defendan, penipu, tidak berhati perut serta menganiaya bangsa sendiri.

Plaintif mendakwa kenyataan itu ekoran tindakan defendan yang marah kerana beliau menandatangani notis bertarikh 15 Mei 2015 berkaitan isu pendudukan tanah kerajaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri kepada defendan.

Notis itu dikeluarkan kerana defendan melanggar undang-undang dengan menaikkan papan tanda 'Projek Ternakan Ikan Sangkar, Nama: Khaidir Bin Ahmad, TOL/LPS PTT/234/2015/11' dan memasang sangkar ikan di kawasan yang telah diluluskan untuk operasi pam pasir kepada Hamzah Mohamed.

Plaintif mendakwa walaupun operasi pam pasir itu dihentikan oleh Pentadbir Tanah dan Daerah sehingga mendapat ulasan pelbagai agensi ekoran bantahan penduduk termasuk defendan, namun Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan permit Hamzah masih sah dan berkuat kuasa kerana telah membuat segala pembayaran, belum tamat tempoh atau ditarik balik.

Sehubungan itu, plaintif mendakwa tindakan beliau menandatangani notis kepada defendan adalah mengikut perutukan undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

Plantif mendakwa defendan turut enggan memohon maaf, memadam dan menarik semula perkataan fitnah itu meskipun beliau telah menghantar surat tuntutan kepada defendan pada 28 Mei lalu.

Plaintif mendakwa tindakan defendan menyebabkan beliau mengalami kecederaan teruk pada reputasinya dan membawa pandangan buruk masyarakat terhadapnya kerana kenyataan fitnah itu mendapat beribu 'like' selain 'tag' kepada rakan Facebook defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi pengajaran, kos tindakan dan faedah atas jumlah penghakiman pada kadar lima peratus setahun bermula tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh.

Plaintif juga memohon mahkamah mengeluarkan injuksi bagi menghalang defendan, pekerja atau ejennya daripada mengeluarkan dan menerbitkan sama ada secara lisan, maya atau bercetak sebarang kenyataan memfitnah atau memburuk-burukkan beliau.

Sementara itu, Mohd Khaidir yang juga pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Pahang ditemani kira-kira 20 penyokong dan anggota keluarganya juga mengadakan perarakan secara aman dari Dataran Temerloh ke kompleks mahkamah.- Bernama


Tiada ulasan: