Rabu, 16 Mac 2016

Penduduk desak Azmin campur tangan selesai isu tanah tertangguh 27 tahun

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Peneroka Kampung Sri Tanjung, Dengkil mendesak kerajaan negeri Selangor menyelesaikan isu tanah dihadapi mereka yang sudah berlarutan sejak 27 tahun lalu.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arulchelvan berkata peneroka telah mengambil pelbagai inisiatif semenjak tahun 1988 dengan berjumpa pihak berwajib dan pelbagai janji yang ditawarkan kepada mereka.
 
"Mereka (peneroka) sangat bimbang kerana setiap kali nak dekat Pilihan Raya ada janji yang diberikan bahawa mereka akan mendapat tanah ini.
 
"Tanah ini semenjak 27 tahun mereka membuat kerja-kerja kebun di sana dan sekarang peneroka setuju untuk pindah keluar dari tanah asal memandangkan itu tanah rezab Melayu.
 
"Kini mereka (pejabat tanah) sudah kenal pasti satu tempat tanah (gantian) 12 ekar dan isu ini sekarang seperti tiada apa-apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
 
 
Seramai 68 keluarga hadir di hadapan pintu masuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bagi menyerahkan memorandum kepada Menter Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Memorandum tersebuat telah diterima oleh Setiausaha Politiknya, Suhaimi Shafie.
 
Suhaimi ketika ditemui memberitahu isu ini memerlukan masa untuk diselesaikan kerana ia perlu kaji terlebih dahulu kerana melibatkan tanah rezab Melayu yang diduduki oleh masyarakat bukan Melayu. 
 
"Sebenarnya jika melibatkan soal tanah, 27 tahun itu adalah satu tempoh yang pada saya pendek kerana ada lagi tanah yang belum selesai yang saya teliti ada yang hampir 40 tahun masih belum selesai.
 
"Kes tanah yang tidak boleh diselesaikan ini ia adalah melibatkan kawasan sebagai contoh di Kampung ini (Sri Tanjung) ia adalah rezab Melayu tetapi ia duduki oleh bukan Melayu ini melibatkan soal-soal teknikal," ujarnya.
 
 
Di dalam memorandum yang diserahkan, peneroka menuntut kerajaan negeri melaksanakan janji sebelum ini yang mana peneroka diberi satu tapak lot tanah untuk perumahan.
 
Mereka juga meminta dihentikan sebarang pencerobahan dalam kawasan tanah Sri Tanjung dan juga meminta tanah 12 ekar yang dijanjikan dikhaskan untuk peneroka Kampung Sri Tanjung, Dengkil.
 
Sebelum ini, isu yang sama pernah diutarakan oleh penduduk melibatkan pelbagai masalah status tanah yang tidak jelas.
 
Antaranya, isu di Lot 334 dan 337 Kampung Pinang Tambahan di mukim Hulu Bernam, Daerah Hulu Selangor dan Kampung Sri Tanjung di Dengkil yang melibatkan 68 keluarga.
 
 

Tiada ulasan: