Rabu, 23 Mac 2016

Pemuda Umno Selangor: 'Kami bukan tidak buat kerja'


logo umno


SHAH ALAM - Pemuda Umno Selangor menegaskan sayap-sayap Umno di Selangor bukan tidak menjalankan tugas mereka membantu Umno dan BN bagi merampas kembali Selangor dari tangan Pakatan Harapan.

Malah Ketua Pemudanya, Zainuri Zainal mendakwa beliau dan ahli-ahlinya terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri demi memastikan program-program dapat dijalankan dalam usaha memikat pengundi terutamanya dari kalangan orang muda.

“Nak suruh kita bekerja, tapi minyak tidak berisi, bagaimana nak bergerak? Ini masalah Pemuda Selangor hadapi. Orang tak tahu...sampai ada yang berhutang. Kita tidak ada peruntukan seperti ketua bahagian tapi kita sanggup keluarkan duit poket sendiri buat program.

“Himpunan merah itu, kita keluarkan baju, dapat (duit) dari mana? Ketua Pemuda keluar duit sendiri, beri kepada pemuda-pemuda yang semangat nak pergi. Ada orang tanya tak, Pemuda Selangor dapat peruntukan dari mana?

“Kita memang nak membantu. Asas penubuhan Pemuda pun untuk membantu cawangan dan bahagian tapi dalam masa sama, yang atas (Umno pusat) pun kenalah bantu yang di bawah. Tidaklah boleh harapkan Pemuda sahaja. Kita (Pemuda) tiada peruntukan. Jadi, mereka kena bantu kitalah,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa ketiga-tiga sayap Umno, Wanita, Pemuda dan Puteri memperkukuhkan semula parti dalam usaha merampas semula Selangor dari Pakatan Harapan.

Beliau turut mendakwa kekalahan Umno ketika PRU13 yang lalu bukan kerana pembangkang kuat sebaliknya Umno sendiri yang lemah.

Zainuri menegaskan kesilapan Umno Selangor dalam pilihan raya lalu adalah meninggalkan anak muda selepas berjaya mendaftarkan mereka sebagai pengundi.

“Kesilapan kita selepas daftar, kita tidak ‘follow up’. Buatlah apa-apa program, perkhemahan atau perjumpaan. Semua itu memerlukan belanja.

“Kita terima saranan Naib Presiden tapi harus bersandarkan situasi dan keadaan semasa. Orang muda sekarang tak sama. Lihat di cawangan-cawangan, nak suruh ahli datang mesyuarat pun susah. Ini yang ahli Umno...apa lagi yang bukan ahli? Benda ini bukan sayap sahaja yang harus bertanggungjawab tapi peranan yang lebih penting lagi sebenarnya di peringkat atasan,” katanya.

Menafikan sekeras-kerasnya tegurannya itu terhadap parti kerana mengejar jawatan, namun Zainuri berkata, teguran itu kerana sayangkan parti dan beliau tidak mahu melihat negara diperintah oleh parti selain Umno-BN.

Sehubungan itu, Zainuri berkata, mengekalkan sokongan orang muda untuk Umno bukan boleh dilakukan secara percuma.

“Trend sekarang ini, kalau kita guna air liur, air liurlah kita dapat. Kalau kita lihat pihak belah sana, sanggup berbelanja lebih untuk terus kepada kumpulan sasaran. Sasarannya untuk mendapatkan pengundi.

“Kita bantu daftar pengundi tapi kita tidak tahu mereka undi siapa, jadi, kita kena bawa jenama kita. 
Jenama kita (pula) orang sedang tidak sedap (suka). Jadi, kenalah jenamakan semula, cantikkan balik supaya pengundi yang baharu ini tahu bahawa yang bawa mereka daftar untuk mengundi buat kali pertama adalah dari BN,” katanya.

Katanya, Pemuda Umno Selangor akan mencuba sedaya upaya untuk memenangkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Insya-ALLAH kita akan cuba dan mungkin kita dapat lihat Selangor menjadi salah satu penyumbang terbesar kepada kemenangan BN. Siapa tahu, sebab politik itu berubah-ubah,” katanya.

Tiada ulasan: