Rabu, 16 Mac 2016

Pemuda maut rempuh belakang lori balak

Rempuh belakang lori, pemuda maut di tempat kejadian
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. 
 
JERTIH  -  Bekas pemain sepak takraw Sukma Terengganu maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori  balak di Kampung Padang Luas di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, Amir Zaidi, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, sebelum kejadian mangsa dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu telah merempuh bahagian belakang lori dengan muatan balak yang diletak di tepi jalan di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa dipercayai menunggang di bahu jalan ketika itu dan tidak perasan adanya lori treler terbabit lalu melanggarnya.

“Akibat rempuhan kuat itu mangsa yang beralamat di Kampung Gerong, Apal meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya mengenai mangsa yang bekerja sebagai pekerja kontrak dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut.

Khaled berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, keadaan jalan di tempat kejadian lurus dua lorong dua hala dengan batu pembahagi hala lalu lintas sementara suasana gela kerana lampu jalan rosak .

Kata Khaled, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Tiada ulasan: