Ahad, 27 Mac 2016

Pelajar lemas terjun lubuk beramai-ramai


Pelajar lemas terjun lubuk beramai-ramai
Rakan-rakan mangsa tidak dapat menahan kesedihan melihat jasad mangsa terbujur kaku.


DUNGUN - "Kami 13 orang terjun beramai-ramai tetapi selepas semua timbul hanya dia seorang tidak muncul-muncul,"kata, Mohd Ikmal Mohd Razi, 16 rakan kepada mangsa lemas, Mohd Imran Morshidi, 16 yang maut ketika mandi manda di kawasan air Terjun Cemerong, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang, sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang, Kemaman dipercayai bersepakat secara beramai-ramai untuk terjun di satu kawasan lubuk dengan kedalaman kira-kira tiga meter dan aksi mereka membawa padah apabila salah seorang daripada mereka terkorban.

Mohd Ikmal berkata, mereka berkonvoi motosikal ke kawasan air terjun berkenaan dan tiba kira-kira jam 1.30 petang.

Menurutnya, selepas terjun beramai-ramai, salah seorang rakan mereka, Mohd Iqbal Zamri, 16 nyaris lemas, manakala mangsa tidak sempat diselamatkan apabila tidak timbul-timbul di permukaan air.

"Sebelum terjun kami berpesan sesama sendiri supaya jangan terlalu seronok, jangan 'galok-galok sangat' tetapi tidak sangka pula musibah seperti ini menimpa. Kami terjun beramai-ramai dan Imran dipercayai orang terakhir terjun tetapi dia tidak timbul-timbul. Apabila timbul saya ternampak salah seorang kawan nyaris lemas dan saya sempat menyelamatkannya.

"Bagaimanapun, kelibat Imran tidak kelihatan dan kami berusaha mencari tetapi tidak berjaya,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun, di sini, hari ini.

Mayat mangsa yang juga anak yatim itu ditemui di dasar sungai kira-kira lima minit selepas kehilangannya.

Mohd Akmal berkata, menyedari salah seorang daripada mereka tidak timbul,  rakan-rakannya meminta bantuan orang ramai untuk sama-sama mencari.


Tiada ulasan: