Selasa, 15 Mac 2016

Pekerja sektor 3D: Apa pelan baharu kerajaan?

Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan
G Manivannan


KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu merangka pelan pekerjaan untuk memenuhi keperluan sektor 3D ('dangerous', 'difficult' dan 'dirty') dalam negara ini susulan daripada pembatalan kemasukan 1.5 juta tenaga buruh warga asing ke negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan, pembatalan kemasukan tenaga buruh asing yang diumum Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meninggalkan kelompongan dalam sektor pekerjaan bidang terbabit.

"Dulu beliau pernah katakan yang orang muda kita tidak berminat dengan sektor pekerjaan seperti itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tutup, tiada lagi 1.5 juta pekerja Bangladesh!]

"Bila kerajaan membatalkan kemasukan pekerja asing, kerajaan perlu ada pelan baharu yang boleh memenuhi kelompongan sedia ada dalam sektor seperti itu. Siapa yang akan penuhi sektor-sektor 3D?

Adakah rakyat kita sendiri?" soalnya ketika ditemui Sinar Online di lobi Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid pada Ogos lalu berkata, kerajaan terpaksa membawa masuk pekerja asing termasuk dari Bangladesh kerana sikap rakyat Malaysia yang tidak berminat bekerja dalam sektor '3D'.

Jun lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh akan dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor terutama perladangan, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun Ahmad Zahid dalam sidang media 12 Mac lalu mengumumkan tiada lagi sebarang pengambilan pekerja asing baharu di negara ini berkuat kuasa serta merta selepas diputuskan Jemaah Menteri dalam mesyuarat kabinet minggu lepas, di Putrajaya.


Tiada ulasan: