Ahad, 13 Mac 2016

Pekerja asing: Tak wajar kuat kuasa serta-merta

pekerja asing


SHAH ALAM - Ketetapan keputusan kerajaan yang tidak mahu lagi membenarkan sebarang pengambilan pekerja asing baharu di negara ini berkuat kuasa serta-merta dijangka akan menjejaskan banyak sektor ekonomi dalam negara.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata keputusan itu tidak wajar dilakukan tanpa sebarang tempoh diberi terutamanya kepada pihak majikan.

“Ia (keputusan) akan menimbulkan banyak masalah kepada majikan dan industri kerana sudah pasti ramai yang telah buat perancangan untuk perniagaan mereka yang melibatkan pekerja asing.

“Apabila ia dikuatkuasakan serta merta, ia pasti menjejaskan operasi syarikat serta keupayaan mereka untuk membekalkan produk, perkhidmatan atau sebarang komitmen kepada pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, keadaan tersebut tidak baik kepada ekonomi syarikat iaitu majikan, malah turut memberi kesan kepada negara apabila mahu dilaksanakan dalam keadaan ekonomi tidak begitu stabil.

“Saya melihat keputusan itu akan menjejaskan banyak sektor antaranya perladangan, pembinaan dan juga pembuatan yang melibatkan kerja-kerja yang rakyat tempatan tak mahu buat (bahaya, kotor dan sukar).

“Ia memang perlu dikaji semula oleh kerajaan dengan meminta pandangan semua pihak terlibat agar ia tidak menjadi bebanan yang akan merugikan majikan dan juga negara di kemudian hari,” katanya.

Tiada ulasan: