Khamis, 24 Mac 2016

Peguam syarie perlu beriman pada Allah, undang-undangNya

Ciri penting seorang peguam syarie adalah akidah, kepastian dalam jiwa raga pada Allah dan undang-undangnya.





PUTRAJAYA: Seorang peguam undang-undang Islam harus melaksanakan tugas menegakkan undang-undang agama itu mengikut Islam, menurut Mahkamah Persekutuan.

“Tugas itu berdasarkan kepada konsep kepercayaan Islam kepada Allah,” menurut Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Tan Sri Md Raus Sharif dalam alasan penghakimannya;

“Maka ciri-ciri penting yang menjadikan seorang peguam syarie itu jujur dan berakhlak mulia adalah akidah (kepercayaan), kepastian dalam jiwa raga kepada Allah dan undang-undangNya.”

Dengan keputusan itu, usaha seorang peguam beragama Kristian, Victoria Jayaseele Martin memohon menjadi peguam syarie telah digagalkan.

Hakim Raus bersama-sama Hakim Tan Sri Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Azahar Mohamed membentuk majoriti, manakala Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Hakim Datuk Zaharah Ibrahim bertentang pendapat.

Terdahulu mahkamah mendapati mendapati Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Peguam Syarie 1993 yang menetapkan hanya seorang muslim boleh menghadap Mahkamah Syariah tidak melanggar Seksyen 59(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, yang menetapkan bahawa mana-mana orang dengan pengetahuan undang-undang syariah secukupnya boleh mengamalkan undang-undang itu.

Hakim Raus menekankan bahawa peguam syarie perlu dipilih dalam kalangan orang Islam supaya kerja-kerja litigasi dijalankan dengan sepenuh keyakinan dan kepercayaan.

“Selanjutnya, seorang peguam syarie yang beragama Islam penting dalam mencapai matlamat Akta itu,” katanya, merujuk kepada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Justeru, beliau meragui samada pemohon iaitu Victoria boleh menegakkan undang-undang mengikut undang-undang syariah.

“Anutannya pasti bertentangan dengan akidah muslim. Maka, bagaimana boleh dia melaksanakan tanggungjawab membantu mahkamah syariah menegakkan undang-undang syariah?” soal beliau.

Tambahan pula, mahkamah syariah hanya mempunyai bidang kuasa keatas muslim.

“Mahkamah Islamik harus boleh menguatkuasakan undang-undang dan peraturannya keatas pengamal syariah, sekiranya berlaku perlanggaran atau penghinaan.”

“Namun bagi Victoria, dia tidak boleh dikenakan undang-undang dan peraturan itu dan mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa keatasnya,” jelas Hakim Raus.

Tiada ulasan: