Ahad, 6 Mac 2016

Pecat Muhyiddin, Mukhriz ikut cara DAP – Nazri

 
Nazri Aziz akan mengusulkan pemecatan mana-mana ahli UMNO yang terbabit dalam Deklarasi Rakyat.


muhyiddin.nazri.mukhriz


PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz akan mengusulkan pemecatan ahli UMNO yang terbabit dalam Deklarasi Rakyat.

Nazri berkata, Timbalan Presiden UMNO yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bertindak melampaui batas kerana menjadi sebahagian daripada komplot menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak.

Laporan The Star Online memetik Nazri sebagai berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang.

Katanya, UMNO boleh mencontohi tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyingkirkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR daripada agensi kerajaan kerana gagal menyokong kepemimpinan negeri, baru-baru ini.

“Pandangan peribadi saya ialah pecat mereka daripada parti, sama macam Guan Eng pecat dua ADUN PKR dalam agensi kerajaan negeri kerana tidak undi menentang usul yang dibawa wakil rakyat UMNO.
“Kita akan ikut cara mereka (DAP),” katanya.

Mengulas lanjut, ketika mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO lalu, beliau menentang pemecatan keahlian UMNO Muhyiddin, sebaliknya hanya bersetuju untuk menggantung jawatan.

“Sebelum ini beliau hanya mengkritik, namun sekarang beliau sudah melampaui batas dengan duduk bersama pembangkang,” katanya.

Muhyiddin digantung selaku Timbalan Presiden oleh Majlis Tertinggi parti berkenaan dua minggu lalu, manakala Mukhriz hilang jawatan Menteri Besar Kedah selepas tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Muhyiddin dan Mukhriz adalah antara 58 individu yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani Deklarasi Rakyat.

Antara individu yang menandatanganinya ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, veteran DAP, Lim Kit Siang dan Anggota Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Tiada ulasan: