Isnin, 7 Mac 2016

Pas nafi tidak sertai Deklarasi Rakyat sebab hudud

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan 
 
 
KUALA LUMPUR - Pas menafikan keengganan parti Islam itu menyertai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan menandatangani Deklarasi Rakyat gara-gara bimbang laluannya membawa usul persendirian mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Pindaan 2015) ke Parlimen 'terganggu'.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, Pas mempunyai satu pendirian dan hala tuju dan strategi yang tersendiri di mana kita tidak terikat dengan pihak yang lain.

"Bukan begitu maksudnya (enggan sertai Deklarasi Rakyat kerana RUU Persendirian).

"Memang pada dasar umumnya, kita akan memberi respons, sokongan kepada apa jua tindakan yang membawa kepada kebaikan. Tetapi kita kena kenal pasti dulu, apa tujuannya, objektifnya, matlamatnya.

Jadi, kita tidak mudah menyertai mana-mana yang dibuat oleh pihak lain," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-13, di Parlimen, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mustafa, Khairudin hadir deklarasi atas izin Hadi]

 Sebelum ini, Pas menolak jemputan Tun Mahathir untuk turut serta dalam majlis menandatangani deklarasi untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kenyataan Pas mendakwa parti Islam itu mempunyai pendekatan dan gerakan tersendiri melalui Blok Politik Ketiga ke arah mengubah kepimpinan negara melalui saluran yang demokrasi dan berperlembagaan.

"Blok Politik Ketiga ini maksudnya ialah kita mempunyai satu rakan ganding yang tersendiri tanpa kita melibatkan diri dengan BN dan juga Pakatan Harapan.

"Jadi kita ada...parti politik dan NGO tapi (identiti) masih kita tak boleh umum lagi," katanya.

Tahun lalu, Pas melalui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba membawa RUU Persendirian itu untuk dibentangkan ke Parlimen meskipun menerima tentangan pelbagai pihak.

Tiada ulasan: