Rabu, 30 Mac 2016

PAS gesa k’jaan beri ruang Mahathir bersuara

Zulaikha Zulkifli

 


Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz berpendapat, kebebasan bersuara perlu diberi kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengkritik kerajaan.

Katanya, walaupun PAS tidak menyokong Deklarasi Rakyat yang diketuai negarawan itu, namun beliau berharap kerajaan tidak sewenang-wenangnya menggunakan Akta Hasutan (1948) untuk menghalang Dr Mahathir daripada bersuara.

"Beri kebebasan. Jangan mudah guna Akta Hasutan ini kerana ia dipertikaikan ramai termasuk rakyat.
"Kami juga dari pembangkang tak puas hati akta ini.

"Bila Tun (Dr Mahathir) nak kritik perlu diberi peluang untuk dia walaupun PAS tak sokong Deklarasi Rakyat tak bermakna kita sokong ruang untuk kritik kerajaan ditutup," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berkata polis sedia bertindak terhadap Mahathir.

Semalam, Nur Jazlan berkata Dr Mahathir boleh dianggap menghasut kerana mengeluarkan kenyataan untuk bertindak "di luar jangkaan” untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, polis akan menyiasat pelbagai kenyataan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu dan sekiranya keputusan siasatan menunjukkan beliau melanggar undang-undang, maka tindakan akan diambil.


Tiada ulasan: