Khamis, 17 Mac 2016

PAS dan Ikatan, sepakat guna saluran demokrasi



Oleh AHMAD AMZAD HASHIM 


TIDAK ada bezanya pun apabila Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil Presiden Parti Ikatan berkata nak bawa hudud ikut saluran demokrasi, parlimen, dengan apa yang secara istiqamah disebut oleh Datuk Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang Presiden PAS bahawa PAS akan terus berjuang menegakkan hukum Allah dalam ruang yang mengikut saluran demokrasi dan perlembagaan negara.

PAS kanunkan di peringkat negeri melalui sidang Dewan Undangan Negeri. Negeri yang PAS mempunyai majoriti sokongan rakyat, rakyat yang majoriti mahukan hudud, maka undang-undang diluluskan dengan undi majoriti. Itu proses demokrasi.

Negeri yang PAS tidak punya majoriti sokongan, PAS gunakan pendekatan menerangkan kebaikan hukum Tuhan ini. Tak dapat sokongan majoriti di DUN, PAS tak apa apa. Kerana PAS hormati demokrasi yang mengikut kemahuan ramai. PAS akan terus guna pendekatan memberi penerangan, mempromosi keindahan hukum Tuhan.

PAS terus istiqamah. Sebahagian bukan Islam yang terbuka telah boleh menerima undang-undang Barat yang juga merupakan undang-undang yang asing bagi Tanah Melayu dan terbukti banyak kelemahannya merasa tidak ada bezanya jika mereka menerima undang-undang Islam yang punya kelebihan dan lebih adil pula.

Banyak masalah dalam masyarakat membimbangkan semua rakyat. Jenayah, Judi, Arak, Pelacuran, keruntuhan nilai dan moral, rasuah.

Tidak ada salahnya kerana ia juga sejenis undang-undang. Bukannya melibatkan paksaan masuk agama Islam. Undang-undang yang cuma dikenakan kepada umat Islam. Bukan dikenakan kepada bukan Islam.

Mereka faham ia sebahagian agama Islam dan jika PAS menerima kebebasan penganut agama bukan Islam mengamalkan ajaran dan kepercayaan mereka, maka tidak wajar umat Islam dihalang dari melaksanakan kepercayaan dan keimanan mereka kerana hukum-hukum Islam yang diperjuangkan PAS itu sebulat suara semua mazhab dalam Islam telah diperakui sebahagian kewajipan umat Islam.

Ia bukan soal ada yang kata wajib, ada yang kata sunat atau ada yang kata harus bagi umat Islam beriman dan melaksanakannya.

Bukan Islam seperi Dr Bala Chandran, dari Dewan Himpunan Penyokong PAS lebih bersungguh menerangkan keyakinannya kepada undang-undang Islam berbanding sesetengah pemimpin Islam yang 'ketinggalan bas', masih terperangkap dalam kerak basi acuan gaya pemikiran sekularisma yang Jakim pun menulis banyak tentang kesesatan aliran ini.

Setelah selesai diperingkat negeri, sebahagian halangan perlaksanaan yang lebih besar terletak diperingkat kerajaan pusat yang ditadbir melalui kuasa parlimen.

Maka PAS perlu bawa melalui saluran Parlimen. Itu yang dibuat oleh PAS.

Pada masa dahulu ia dijadikan jenaka sinis oleh ahli parlimen. Dalam 5-10 tahun lalu ia tidak lagi jadi bahan ketawa. Sudah ada ahli parlimen Umno yang berucap terbuka menyokong hudud.

Pada hari ini Presiden PAS boleh membuat semua ahli parlimen termasuk dari kalangan bukan Islam terpaku mendengar penjelasan demi penjelasan tentang Islam, hukum dan undang-undangnya yang indah.

Kerana mereka mula tahu DS TGHH adalah orang nombor 2 atau 3 tertinggi dalam kalangan kepimpinan ulama Islam antarabangsa di peringkat dunia.

Mereka mula mengerti mengapa media Singapura berminat mendengar tentang undang-undang Islam daripada DS TGHH. Media Jepun, Turki, Algeria dan banyak lagi.

Jika masyarakat antarabangsa menghormati DS TGHH, parlimen Malaysia wajar menghormatinya juga.

Yang sedang dikecam masyarakat dunia sekarang apabila bercakap tentang Malaysia adalah DS Najib, Perdana Menteri dan Presiden Umno, Pengerusi Barisan Nasional yang dipandang sangat korup, boros dan lemah serta tunduk kepada kuasa asing.

PAS sangat sabar dan mencatat kemaraan satu persatu.

Kini Jakim pun sudah ada jawatankuasa bersama dengan Kerajaan Kelantan dalam soal undang-undang Islam ini. Satu perkara yang dulu dilihat mustahil.

Selang seminggu yang lalu saya sendiri terkejut dengan khutbah multimedia Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, MAIDAM yang bertemakan seruan penyatuan umat Islam untuk mendaulatkan undang-undang Islam. Seruan penyatuan umat Islam untuk menangkis serangan musuh Islam melalui penyebaran fahaman liberalisme.

Presiden PAS dengan berani mengemukakan di Parlimen tentang masalah taraf mahkamah syariah yang terlalu rendah berbanding mahkamah biasa. Usul itu dilengahkan, ditolak. Tapi ia mencelikkan mata umat Islam.

Ia memberi shockwave tertentu hingga menyentuh dan menarik perhatian Majlis Raja Raja.

Sehingga dalam ucapan pembukaan Sidang Dewan Rakyat (Parlimen) dititah secara khusus oleh Yang Di Pertuan Agong agar Mahkamah Syariah dinaik tarafkan.

Itu kejayaan PAS.

Isu urus tadbir, PAS memimpin gerakan bersihkan pilihan raya. Tanpa penyertaan PAS, BERSIH tidak lagi kelihatan bersih.

Isu-isu lain seperti GST, TPPA, 1MDB, Kemiskinan, harga getah, felda, Tanah Melayu, urus tadbir, PAS lantang dan bersuara dengan berkesan.

Mungkin tak banyak gimik dan aksi sarkas, tapi ia menggugat dengan arus bawah yang nyata deras berpihak kepada PAS dalam kalangan rakyat khususnya orang orang Melayu yang merupakan kumpulan majoriti yang besar dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah jika begitu banyak NGO menggabungkan diri melalui insiatif bersama Kongres Rakyat.

Insya-Allah, blok ke tiga kelihatannya mempunyai pendekatan yang lebih baik dalam menggugat Barisan Nasional kerana kita amat faham psikologi orang Melayu yang majoriti bukan sahaja tidak akan rela bertuankan DAP, malah memandang pengkhianat kepada yang sanggup menjadi pak turut agenda penguasaan chauvinist DAP ini

Tiada ulasan: