Khamis, 10 Mac 2016

Pas bakal tubuh blok politik ketiga

Pas


KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pas mendedahkan pihaknya akan membentuk blok politik ketiga dalam landskap politik negara.

Mengulas perkara tersebut, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan sebuah parti politik bagi menghadapi PRU 14.

"Pas akan ada blok pembangkang dia sendiri. Saya akan umumkan pada 16 Mac depan kita akan ada satu kerjasama dengan satu badan politik negara.

"Di Malaysia, ada lebih 20 parti politik yang berdaftar, jadi ada yang milik satu kelompok dan ada parti milik satu bangsa, tapi tujuan untuk menghadapi pilihan raya. Sebab itu kita dah umumkan kita adalah blok pembangkang iaitu blok politik ketiga," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Menurut Takiyuddin, Perlembagaan Pas tidak menghalang parti tersebut untuk bekerjasama dengan mana- mana pihak yang mempunyai arah tuju sama dengan parti berkenaan.

"Blok baharu ini bagi memastikan Pas kekal relevan bagi menghadapi PRU 14 nanti," katanya.

Ditanya adakah parti yang bakal bekerjasama dengan Pas itu adalah dengan sebuah Parti dari Pakatan Harapan, beliau berkata parti itu telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan gabungan berkenaan.
"Kami masih lagi PR dengan bekerjasama baik dengan PKR," katanya.

Ditanya lagi oleh wartawan supaya memberikan bayangan mengenai parti yang akan bekerjasama dengan Pas, Takiyuddin enggan mengulas lanjut.

Jelas Takiyuddin, kerjasama itu mengetengahkan budaya politik matang.

"Kerjasama itu adalah langkah terbaharu Pas dalam mengorak langkah selepas tidak menyertai Pakatan Harapan yang kini disertai serpihan parti itu Parti Amanah Negara (Amanah) bersama PKR dan DAP," katanya," katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno.

"Kita tidak akan bekerjasama dengan Umno dalam membentuk kuasa baharu dalam arena politik negara,"

Tiada ulasan: