Sabtu, 12 Mac 2016

Parti Ikatan belum muktamad bersama blok politik Pas

HAZAYANI ZAKARIA


Parti Ikatan Bangsa MalaysiaParti Ikatan Bangsa Malaysia


Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) belum membuat keputusan sama ada ingin mengadakan kerjasama rasmi dengan Pas atau tidak dalam blok politik ketiga pembangkang.

Presidennya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir bagaimanapun berkata, Ikatan telah lama mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Pas dan sering berbincang mengenai isu-isu negara.

“Parti Ikatan memang rapat dengan Pas, selalu berjumpa atas isu-isu tertentu. Tetapi kalau ada pakatan rasmi itu belum lagi.

“Sememangnya kami sudah lama rapat dengan Pas tetapi setakat ini kami belum memikirkan lagi untuk mengadakan hubungan secara rasmi.
“Belum ada suatu persetujuan rasmi mengenai kerjasama secara rasmi. Kami dah jumpa tapi belum ada persetujuan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline semalam.
Semalam Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, Ikatan adalah antara parti yang dijangka bekerjasama dengan parti tersebut.

Ditanya sama ada Ikatan berminat atau tidak dengan kerjasama itu, Abdul Kadir berkata pihaknya akan mengumumkan perkara itu apabila tiba masanya.

“Bila sampai masanya kami akan umumkan. Mungkin Pas bergabung dngan parti dan NGO lain,” katanya.

Setiausaha agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan mengumumkan pembentukan blok pembangkang baru yang akan melibatkan sebuah parti pelbagai kaum dan NGO pada 16 Mac ini.

Beliau berkata ‘blok politik ketiga’ diharapkan setanding dengan Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata, tindakan Pas mewujudkan blok politik ketiga merupakan keputusan yang bijaksana bagi menguntungkan rakyat dan negara.

“Itu adalah inisiatif Pas yang cukup bijaksana sebab Pas adalah sebuah parti yang terulung dalam negara kita selain Umno.

“Pas adalah parti politik yang menjadi tunjang politik negara. Kita tengok dalam pembangkang memang kelam kabut dan berpecah-pecah dan berkelahi sepanjang masa dengan perkataan yang kasar-kasar.

“Dalam keadaan ini, saya tak hairan Pas memilih jalannya sendiri dan nak bermula kumpulkan sahabat-sahabat yang sealiran fikiran dan sealiran caranya dengan Pas. Sudah tentu usaha tersebut akan menguntungkan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau bagaimanpun enggan mengulas mengenai sikap Pas yang berkecuali dalam Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Itu hal ehwal Pas, saya tak mahu komen dan bagi pandangan peribadi mengenai deklarasi pun saya tak mahu komen,” katanya.

Ikatan ditubuhkan pada 7 Jun 2012 oleh Abdul Kadir dan beberapa bekas pemimpin BN.

Tiada ulasan: