ARIF ATAN
Lebih 80 peratus daripada kira-kira 100 orang gelandangan atau warga
miskin kota yang menerima bantuan makanan di sesebuah gereja pada
satu-satu masa terdiri daripada Melayu beragama Islam.
Pendedahan tersebut diakui seorang ibu tunggal ketika kebetulan
ditemui Malaysia Dateline di Surau Balai Islam berdekatan Bulatan
Pahang, Kuala Lumpur semalam.
Hanya mahu dikenali sebagai Junaidah (bukan nama sebenar), 50, beliau
yang menjaga seorang anak lelaki menghidap penyakit ulser tulang
memberitahu ramai gelandangan Melayu terpaksa mengharap bantuan daripada
pihak gereja dan NGO berlatarbelakangkan Kristian.
Ujarnya, sebuah gereja berhampiran Dataran Merdeka menyediakan
sarapan mulai jam 8 pagi setiap hari manakala satu gereja lagi di Bukit
Nanas menjamu makanan tengah hari kepada warga miskin kota juga setiap
hari.
"Bagusnya lagi, pihak gereja menghormati gelandangan beragama Islam.
Kami akan makan terlebih dahulu selepas wakil daripada kami diminta
membacakan doa makan. Kemudian, baru doa untuk penganut mereka pula
dibaca.
"Selain makanan, gereja dekat Dataran Merdeka itu siap beri sabun,
benarkan gelandangan cuci baju dan sediakan ampaian untuk menjemur
pakaian," ujarnya yang kali terakhir menerima bantuan makanan di gereja
terbabit selepas Aidilfitri tahun lalu.
Beliau yang tiba di surau itu bertanyakan pada Malaysia Dateline
tentang imam untuk memohon bantuan wang ihsan selepas kira-kira sejam
berlalunya solat Asar berjemaah.
"Minta bantuan pada Baitulmal setakat RM250 hingga RM300 sebulan. Sewa bilik di KL pun sudah RM300.
"Saya dengan anak berusia 25 tahun mulai tahun 2016 tidur di sekitar
Masjid Negara kerana tak mampu menyewa bilik," ujarnya yang berasal dari
Rembau.
Bercerita lanjut tentang perbandingan dengan layanan institusi ibadat
Islam, Junaidah berkata, pihak masjid sekitar ibu negara tidak pula
berbuat demikian.
"Masjid Negara pun tidak ada. Hanya NGO dan mahasiswa saja yang ada berikan kami sumbangan makanan.
"Kalau dekat kawasan Kolej Segi berhampiran Anjung Singgah, ada
seorang Datin bagi sumbangan duit setiap bulan. Itu usaha orang
perseorangan. Kalau Baitulmal lagilah, bagi (bantuan kewangan) buat
syarat saja.
"Kelmarin, saya minta bantuan wang ihsan untuk ambil dua anak yang
dijaga bekas suami di Jengka.
Baitulmal tak bagi wang sebab katanya duit
bulanan sudah bagi," ceritanya di perkarangan surau sambil merenung
jauh kenderaan yang mulai sesak di Bulatan Pahang itu.
Berkongsikan pengalamannya yang pernah memohon bantuan bulanan pada
Baitulmal di Terengganu tahun lalu bagi pihak anaknya, Junaidah berkata
institusi itu menolak permohonan mereka dengan alasan bukan pemastautin.
"Saya merayu mereka buat tak tahu walaupun kad pengenalan anak saya
terbukti lahir di Terengganu. Katanya, datanglah esok lusa jumpa pegawai
mereka padahal saya tidak boleh tunggu. Penyakit anak saya kena cepat
diberi ubat.
"Kata pegawai itu ramai orang begitu. Pada kad pengenalan saja lahir
di Terengganu, tinggal di negeri lain," cerita Junaidah kembali sehingga
beliau pada hari tersebut terpaksa memohon jasa baik pihak Jabatan
Mufti yang pejabatnya tidak jauh dari Baitulmal itu.
Beliau berkata, pihak Baitulmal memberi bantuan hanya selepas Jabatan Mufti itu menghubungi Baitulmal memaklumkan permohonan mereka harus diberi perhatian.
"Itupun Baitulmal beri bantuan kecemasan RM100 bukan bantuan bulanan dengan alasan sama - bukan pemastautin.
"Lepas
tu pegawai itu pula persoal saya kenapa mengadu pada Jabatan Mufti
sedangkan saya terdesak perlukan wang ihsan untuk belanja perubatan anak
saya yang kaki kirinya sakit teruk akibat sisa karat selepas berlaku
kemalangan di bengkel kereta tahun 2014 lepas," jelasnya.
Bukan kariah
Memohon bantuan ihsan dari pihak masjid juga amat mengecewakan
walaupun pada papan kenyataan masjid terpampang ribuan ringgit kutipan
setiap minggu Solat Jumaat.
Beliau berkata, Ahad lalu seorang jawatankuasa Masjid Amru Ibni Al'As
di Bandar Baru Sentul menolak rayuannya yang memohon sedikit wang
dengan alasan bukan kariah masjid.
"Dia kata dia berpegang pada prinsip. Dia hanya bantu anak kariah
masjid saja. Saya sedih sebab setahu saya orang yang bersembahyang di
mana-mana masjid termasuk ketika solat Jumaat juga datangnya dari luar
kariah," keluhnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan