Selasa, 15 Mac 2016

Nyaris tak naik pelamin

Nyaris tak naik pelamin
Falah (kanan) membuat laporan polis terhadap pemilik butik terbabit bersama dua lagi mangsa supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap individu itu.


TEMERLOH - Pelanggan sebuah butik pengantin yang menawarkan pakej persandingan murah membuat laporan polis bagi menuntut bayaran dibuat kerana mendakwa pemiliknya menipu ramai pelanggannya.

Laporan dibuat di Balai Polis Temerloh, di sini, pagi semalam, oleh dua pelanggan butik terbabit bagi menuntut kembali wang yang dibayar untuk perkhidmatan ditawarkan.

Mereka juga mahu segera polis mengambil tindakan terhadap pemilik butik terbabit.

Falah Hasan, 24, dan pasangannya Mohamad Khuzairi Mohd Azan antara yang diperdaya dan mereka membuat dua laporan polis ke atas individu terbabit.

Menceritakan kejadian yang berlaku, Falah berkata, dia terjumpa promosi butik tersebut yang menawarkan pakej perkahwinan semurah RM1,000 ketika berkunjung ke sebuah pusat membeli belah di Mentakab.

Menurutnya, butik terbabit menawarkan promosi pakej perkahwinan kepada pasangan yang ingin mengadakan majlis pada 2016, 2017 dan 2018.

Katanya, tawaran yang diberikan dengan harga itu termasuk sepasang baju nikah lelaki dan perempuan, sepasang baju bersanding, sepasang  baju bertandang, hiasan bilik tidur, hiasan meja makan beradab, satu kali solekan dan pelamin.

“Saya tertarik sebab pakejnya murah, saya pergi ke butiknya buat bayaran tunai RM1,000 pada 25 Mei 2015 untuk majlis yang akan diadakan pada 11 Mac 2016.

“Tapi, lepas Tahun Baharu Cina baru ni ada viral besar-besaran pasal butik tu. Ada pelanggan yang tak dapat baju dan pelamin sampai tapi tak pasang pada hari majlis,” katanya.

Falah berkata, dia yang risau kemudian ke butik terbabit untuk bertanyakan hal sebenar dan sangat terkejut apabila sampai di sana, ramai pelanggan menyerbu butik itu untuk mendapatkan semula bayaran yang dibuat.

Menurutnya, pemilik butik hanya mendiamkan diri apabila diajukan pelbagai soalan dan yang menjawab pekerjanya sahaja.

“Pekerja butik itu mengakui apa yang berlaku itu disebabkan ramai pekerja mereka lari. Dia juga beritahu dua bulan tidak dibayar gaji. Tapi yang peliknya kenapa dia masih sanggup kerja di  butik tu kalau gaji tak dibayar selain perlu berdepan  pelanggan yang tak puas hati.

“Kemudian, saya dapat surat perjanjian daripada butik yang berjanji untuk bayar balik duit saya sebelum hari persandingan, 11 Mac 2016, yang ditandatangani saya dan pemilik butik itu.

“Saya tunggu sampai tarikh tu tetapi tetap tidak ada bayaran balik, dia tak muncul dan butik tutup.
Kebetulan, satu hari tu butik buka dan saya jumpa pekerjanya, tapi dia pun tak tahu ke mana bosnya pergi,” katanya.

Falah berkata, dia sendiri membuat dua laporan polis kerana pemilik butik membawa lari duitnya dan laporan atas perjanjian yang dibuat.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana selesai melangsungkan perkahwinan pada November 2015 tetapi terpaksa menunda tarikh persandingan dan majlis kenduri sebelah lelaki kerana ditipu pemilik butik terbabit.

Falah juga mendapat maklumat butik terbabit mengambil sehingga banyak tempahan pada hujung minggu sama, selain sudah lebih 100 mangsa ditipu dan berpuluh laporan polis dibuat.


Tiada ulasan: