Sabtu, 19 Mac 2016

NGO Hindu, Muslim sangkal 7,000 dipaksa peluk Islam

Geraldine Tong

   


Dua NGO Hindu dan Muslim menafikan laporan bahawa lebih 7,000 penganut Hindu telah dipaksa memeluk Islam dan menjelaskan ia merupakan kes salah dokumentasi.

Dalam pertemuan pertama mereka di Petaling Jaya hari ini, Conversion Action Team (Hicoat) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah berbincang mengenai salah faham berhubung perkara itu.

"Biar saya jelaskan isu 7,000 Hindu ini. Mereka menghadapi masalah dengan dokumentasi dan ini adalah semata-mata satu tindakan pembetulan, bukannya pertukaran agama," kata Presiden Hicoat Arun Doraisamy dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat itu.

Beliau menjelaskan perkara itu telah disalahanggap sesetengah media, selepas sidang akhbar bahawa 7,000 penganut Hindu dipaksa memeluk Islam bulan lalu.

Sebaliknya, beliau berkata 7000 penganut Hindu berkenaan telah secara salah didokumenkan sebagai umat Islam, sambil menambah bahawa jumlah itu merupakan suatu anggaran.

Apabila sedar mereka telah disalahanggap dan selepas PPMM bertindak balas kepada isu ini, Doraisamy berkata mereka segera menghubungi persatuan peguam itu untuk menjelaskan apa yang mereka maksudkan dan menetapkan perjumpaan.

Presiden PPMM Zainol Rijal Abu Bakar berkata, selepas pertemuan dengan Hicoat, mereka gembira untuk membantu menyelesaikan isu salah dokumentasi bagi 7000 penganut Hindu berkenaan.

"Islam tidak membenarkan memaksa seseorang untuk menjadi seorang Muslim. Berdasarkan kepercayaan ini, kami menawarkan bantuan untuk membetulkan mereka yang telah secara palsu dikategorikan sebagai seorang Islam," kata Zainol.

Oleh itu, kedua-dua NGO itu bersetuju membentuk sebuah jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan bersama bagi menyelesaikan isu-isu dokumentasi salah, berdasarkan kes demi kes, dan penyelesaian jangka panjang supaya ia tidak terus berlaku.

Jawatankuasa ini akan terdiri daripada ahli kedua-dua NGO itu, dengan peguam menyediakan bantuan teknikal bagi sesuatu kes.

"Kami amat gembira kami akan bekerjasama dengan PPMM terhadap kes demi kes, dan dalam beberapa kes bekerja rapat dengan mengambil langkah-langkah pencegahan dan kesedaran," kata Doraisamy.

Katanya, mereka juga telah memberi taklimat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam isu agama, Datuk Seri Nancy Shukri mengenai isu ini, dan beliau bersetuju bahawa ia perlu ditangani secepat mungkin.

Doraisamy berkata Jabatan Perdana Menteri juga akan dimaklumkan mengenai apa yang berlaku.


Tiada ulasan: