Ahad, 6 Mac 2016

Nenek, cucu maut, kereta bertembung

Nenek, cucu maut, kereta bertembung
Pasukan penyelamat membawa mangsa ke hospital.


RANTAU PANJANG – Nenek dan cucunya yang berusia enam tahun maut dalam kemalangan di Simpang Tiga Batu Karang Rantau Panjang, jam 11.45 pagi kelmarin.

Che Hasnah Che Isa, 64 meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pasir Mas, pada jam 7.50 malam kelmarin manakala cucunya, Ros Alya Adriana Mohd Fauzi meninggal ketika dalam perjalanan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian jam 10 malam hari yang sama.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, kereta yang dipandu Rosnawati Daud, 42, dari Simpang Batu Karang, bertembung dengan kereta Ford Kuga dari arah Rantau Panjang ke Pasir Mas.

Menurutnya, pertembungan ini menyebabkan dua maut, seorang parah manakala empat yang lain cedera ringan.

“Saksi yang melihat kejadian diminta tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Pasir Mas untuk membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jenazah Che Hasnah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakat, jam 11 pagi tadi manakala Ros Alya Adriana dijangka dikebumikan jam 2 petang ini.

Tiada ulasan: