Isnin, 7 Mac 2016

Nazri nafi BN bincang deklarasi anti-Najib

Alyaa Azhar

 


Ahli Parlimen Umno, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini menafikan 'suasana panik' dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanggil ahli parlimen BN di kediaman rasminya malam tadi seperti didakwa pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

Lim dalam satu kenyataan hari ini berkata kini terdapat suasana panik di Putrajaya berikutan Deklarasi Rakyat yang ditandatangani bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin pembangkang serta wakil NGO.

Beliau menambah ia menjadi sebab Najib memanggil ahli parlimen BN untuk menghadiri mesyuarat pra-majlis sempena sesi dewan rakyat, yang biasanya diadakan pada pagi sesi parlimen dan bukan dua hari lebih awal.

Nazri, bagaimanapun, memberitahu Malaysiakini bahawa itu amalan biasa bagi ahli-ahli parlimen BN untuk mengadakan mesyuarat pra-majlis sebelum bermulanya parlimen.

"Ia telah dilakukan dalam banyak tahun.

"Kalau kamu tak tahu apa-apa, jangan cakap. Ia hanya buat kamu kelihatan bodoh," kata Nazri kepada Lim.

Sambil menegaskan bahawa deklarasi itu belum dibincangkan sama sekali, Nazri berkata perkara itu tidak penting.

"Jangan perasan. Mesyuarat itu hanya berlangsung selama 20 minit, "katanya.

Mahathir bersama bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lepas menyertai pemimpin pembangkang dan tokoh NGO bagi menandatangani Deklarasi Rakyat menggesa Najib meletakkan jawatan mengikut saluran undang-undang.

Sejak itu, terdapat spekulasi bahawa mesyuarat pra-majlis sesi parlimen malam tadi adalah reaksi kepada majlis menandatangani deklarasi berkenaan.


Tiada ulasan: