Rabu, 16 Mac 2016

Nancy: Pindaan akta kahwin-cerai diletak di bawah KDN

BERNAMA




Pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) akan diletakkan di bawah penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN), sekiranya diluluskan kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak mempunyai kuasa dalam undang-undang sekiranya pindaan akta itu diletakkan di bawah kementerian berkenaan.

"Undang-undang ini akan diletakkan di bawah KDN kerana lebih kepada penguatkuasaan, dan jika di bawah KPWKM, mereka pun tidak mempunyai undang-undang untuk menguatkuasakannya," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan al-Quran Tafsir kepada Saudara-saudara Baru anjuran Hidayah Centre Foundation di Putrajaya hari ini.

Nancy sebelum ini, dilaporkan berkata kerajaan masih menunggu maklum balas dari negeri-negeri sebelum meneruskan untuk meminda tiga akta berkaitan penukaran agama bagi menangani perbalahan terutama mengenai penukaran agama melibatkan kanak-kanak, hak penjagaan dan harta.

Tiga akta itu ialah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).

Dalam pada itu, Pengerusi Hidayah Centre Foundation Nicholas Sylvester @ Muhammad Abdullah berkata yayasan itu kini merancang mengedarkan sebanyak 1,000 buah al-Quran Tafsir kepada saudara baru di seluruh Malaysia, tahun ini.

"Setakat tahun ini, kami telah mengedarkan 200 buah al-Quran dan pada tahun lepas, yayasan ini mengedarkan 500 buah dan bahan berkaitan keagamaan untuk kegunaan saudara-saudara baru," katanya.
-Bernama


Tiada ulasan: