Rabu, 2 Mac 2016

Najib dan 1MDB: Soalan untuk Raja-Raja Melayu

MALAYSIAKINI




Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin hari ini menyembah beberapa soalan kepada Raja-Raja Melayu berhubung kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB yang diilhamkannya tetapi terpalit dengan pelbagai isu.

Beliau merujuk kepada gesaan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizziddin Shah yang mahu kerajaan menyokong usaha anti-rasuah bagi memperbaiki kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah Transparency International (TI) yang dikatakan sebagai membimbangkan.

Antara lain, Kadir menyoal sama ada Raja-Raja berpuas hati dengan reaksi pentadbiran Najib terhadap titah perintah baginda mengenai 1MDB?

Katanya, pada Oktober lalu, Raja-Raja bertitah menuntut siasatan 1MDB disegerakan dan tindakan sewajarnya diambil ke atas semua yang terbabit jika terdapat salah laku.

“Hampir lima bulan sudah berlalu. Dalam tempoh itu, Peguam Negara (Tan Sri) Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan atas alasan beliau sakit dan tidak boleh menjalankan tugas.

“Tidak ada “medical board” dipanggil. Tetapi Abdul Gani cukup sihat sehingga boleh membuka syarikat guaman sendiri. Pengganti beliau, (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali, dilantik dalam suasana yang mencurigakan,” katanya dalam satu tulisan di blog.

Kadir seterusnya menyoal adakah Raja-Raja berpuas hati bahawa Yang di-Pertuan Agong telah diberikan maklumat yang sah mengenai kesihatan Abdul Gani apabila Seri Paduka bersetuju dengan kerajaan untuk menamatkan tempoh perkhidmatan peguam negara itu.

Sehati sejiwa selamatkan Malaysia

Kadir yang juga adalah bekas ketua pengarang Kumpulan News Straits Times juga membangkitkan jika Raja-Raja bersetuju dengan penyiasatan ke atas 1MDB.

“Adakah para duli tuanku bersetuju dengan apa yang telah terjadi kepada penyiasatan ke atas 1MDB sehingga kini, khususnya tindak-tanduk Apandi membatalkan, melambatkan dan menolak hasil siasatan ke atas 1MDB?” soalnya.

Selain itu, Kadir turut menyentuh mengenai kebimbangan Raja-Raja Melayu mengenai Akta Majlis Keselamatan Negara sehingga menyebabkan baginda menitahkan peguam negara supaya melakukan penapisan ke atasnya.

“Pakar-pakar perlembagaan dan perundangan berkata akta itu memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri dan agensi-agensi pelaksana (polis dan tentera) mengisytiharkan kawasan darurat dan memberikan kekebalan kepada mereka dalam menguatkuasakan akta itu,” katanya.

Berkenaan 1MDB, akaun peribadi Najib dan dakwaan pemesongan RM42 juta wang SRC International, Kadir memohon penjelasan sama ada Raja-Raja akan menitahkan agar sebuah Suruhanjaya Penyiasat di-Raja ditubuhkan bagi mengambil alih semua tugas menyiasat tiga isu itu.

“Akhir sekali, adakah Raja-Raja Melayu sehati sejiwa bersama rakyat jelata menyelamatkan Malaysia?

“Masanya sudah sampai bagi setiap warganegara Malaysia - daripada Raja kepada rakyat totok, tanpa mengira agama dan bangsa, parti dan ideologi – bersatu hati menyelamatkan Malaysia secara sah, aman dan bertamadun,” katanya.

Najib telah berulang kali menafikan dakwaan terhadapnya dan mengaitkan semua dakwaan itu sebagai komplot untuk menggulingkannya sebagai perdana menteri.

Begitu juga, 1MDB menuduh pengkritik mengkitar semula dakwaan untuk tujuan politik.



Tiada ulasan: