Isnin, 7 Mac 2016

Najib bermuka badut - polis soal siasat Nurul Izzah

MALAYSIAKINI




Polis hari ini menyoal siasat ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar kerana didakwa memuat naik ke media sosial gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berwajah seorang badut.

Peguamnya Michelle Yesudas berkata polis membuat siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ini adalah akta sama, artis Fahmi Reza sedang disiasat kerana menghasilkan lukisan itu.

Nurul Izzah didakwa memuat naik imej itu ke akaun Instagram miliknya tetapi enggan melayan soalan polis hari ini, termasuk sama ada beliau sendiri yang memuat naikkan gambar itu.




Bercakap kepada media selepas disoal-siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Nurul Izzah meminta Najib sebaliknya memberi tumpuan kepada isu-isu lebih besar dan bukan menekan ahli parlimen.

"Adakah dia tidak ada kerja lain untuk dilakukan?

“Adakah dia tidak perlu beri tumpuan mentadbir negara ini memandangkan kita telah dibidas di seluruh dunia kerana skandal syarikat 1MDB yang menjadi kesayangannya itu?" soalnya.

Yesudas berkata tindakan polis menyiasat tentang imej berkenaan adalah satu pembaziran sumber polis.

"Tugas polis adalah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Jika sumber itu digunakan untuk tujuan seperti ini, bagaimana anggota polis boleh berfungsi?

"Kami gesa mereka (polis) untuk bekerja sama menjadikan masyarakat lebih progresif dan tidak bertindak terhadap pembangkang. Kami harap ini adalah yang terakhir daripadanya," katanya.




Nurul Izzah adalah orang kedua yang akan disoal-siasat mengenai imej Najib yang berwajah badut yang tertera tulisan ‘Kita Semua Penghasut’.

Fahmi disoal minggu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Zani Che Din memberitahu media bahawa kes itu dikendalikan oleh Bukit Aman.

Tiada ulasan: