Ahad, 20 Mac 2016

Munafik kutip RM15.4j selepas tiga minggu tayangan

munafik
 

FILEM seram arahan arahan Shamsul Yusof , Munafik berjaya mencatat kutipan RM15.4 juta sepanjang 3 minggu ditayangkan di pawagam.

Memetik laporan BH Online, penerbit filem itu, Datuk Yusof Haslam berkata, permintaan tinggi daripada penonton, terutama di Sabah dan Sarawak, membolehkan filem itu 'terus bertahan'.

 "Syukur alhamdulillah, sambutan penonton terhadap filem Munafik sangat luar biasa. Buat masa ini, kami sudah melakukan beberapa kali penambahan terhadap jumlah pawagam. Pada asalnya, hanya 90 panggung dipohon ketika kami membuat permohonan tayangan kepada Finas.

"Daripada 90 ia menjadi 112 dan pada minggu kedua, ia ditambah lagi menjadi 117 pawagam. Pada minggu ketiga ini, ada beberapa pawagam bebas di Sabah dan Sarawak turut membuat permintaan, menjadikannya 120 pawagam sehingga kini," katanya.

Mengulas lanjut, Yusof berkata, dari segi  jualan tiket Munafiq, beliau yakin kutipan akan mencecah RM16 juta di Malaysia sahaja.

"Kami turut mendapat maklum balas sangat baik daripada penonton di Singapura dan Brunei yang menyukai pendekatan Islamik diterapkan menerusi filem ini.

"Setakat ini, kutipan kasar diterima daripada dua negara itu mencecah RM1.4 juta, menjadikan kutipan keseluruhan RM15.4 juta bagi 21 hari tayangan," katanya.

Munafik yang juga filem ke-39 terbitan Skop menampilkan bintang seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim, A Galak dan Syamsul sendiri.


Tiada ulasan: