Khamis, 17 Mac 2016

Mulakan reformasi institusi melalui pembebasan universiti

Oleh Azzan Aznan
 
 
Hanya sang penjilat penguasa sahaja yang akan diberi ruang bersuara dan berdiskusi.
 
 
 
reformasi



Mahasiswa akan terus diperjudikan selagi universiti dikongkong,dikawal dan diperguna oleh kerajaan. Kebebasan akademik yakni kebebasan bersuara, menyampaikan maklumat serta melaksanakan kajian terutamanya berkenaan isu kritikal akan terus dihalang.

Pemahaman ‘Akademik’ bagi sang penguasa hanyalah tertakluk kepada subjek dan isu yang menguntungkan mereka. Juga didalam ruang lingkup selamat yang tidak menyentuh status quo mereka. Dalam erti kata lain, mereka ini anti-kritikan dan anti-kritikal.

Oleh yang demikian, hanya sang penjilat penguasa sahaja yang akan diberi ruang bersuara dan berdiskusi.
Manakala bagi mereka yang lantang bersuara mempersoalkan sesuatu yang kritikal, mereka ini dianggap sudah terkeluar dari landasan akademik lantas dihalang untuk menyuarakan idea mereka.

Halangan boleh sahaja datang melalui tidak meluluskan program, membatalkan program pada saat akhir, menghantar puluhan polis untuk mengganggu program serta menutup pagar universiti, ‘menggelapkan’ kawasan kampus serta menghukum mereka melalui tindakan disiplin.

Kesalahan mereka hanya satu iaitu bersuara menyatakan kebenaran.

Jangan hairan, menyatakan kebenaran dan fakta didalam kampus boleh menjadi satu kesalahan maha berat. Maka selayaknya mereka ini dilayan seperti penjenayah peringkat paling tinggi.

Inilah realitinya yang berlaku di Universiti/Institusi Pendidikan di Malaysia. Maka tidak hairanlah kedudukan universiti kita jauh ketinggalan dengan universiti lain di Asia Tenggara, apatah lagi di dunia.

Puncanya hanya satu, campur tangan secara langsung pihak kerajaan. Apabila timbul sesuatu isu, kerajaan persekutuan/negeri akan memberi arahan kepada pihak pentadbir tertinggi universiti (TNC/NC/Rektor/Timb. Rektor), pentadbir tertinggi ini akan memberi arahan kepada pihak keselamatan, juga arahan kepada Dekan dan orang-orang berkenaan untuk ‘melalukan apa-apa sahaja yang munasabah’ dalam rencana untuk menghalang mahasiswa/ahli akademik daripada bersuara.

Apa tidaknya, pentadbir tertinggi itu adalah dilantik oleh kerajaan persekutuan/negeri. Secara rasionalnya, yang dilantik itu seharusnya sealiran dengan yang melantik. Kuasa ini secara jelas dimakbulkan didalam Seksyen 4A AUKU. Maka tidak hairanlah pentadbir universiti itu sentiasa memihak dan menjadi pak turut maharaja mereka di luar sana.

Contoh yang paling dekat ialah UIAM yang secara tradisinya akan melantik seorang Presiden yang merupakan ahli aktif parti UMNO. Terkini, jawatan ini disandang oleh Tan Sri Dr. Rais Yatim. Tidak perlu untuk saya jelaskan disini siapakah beliau.

Akibatnya, universiti gagal untuk menjadi institusi yang bebas yakni daripada ideologi parti mahupun agenda parti. Juga gagal untuk menjadi institusi yang mengangkat martabat dan disiplin ilmu ke daerah yang paling tinggi dek kerana kongkongan ideologi/agenda parti atau organisasi.

Meminjam kata-kata Prof Stefen Collini yang merupakan tokoh di Universiti Cambridge didalam bukunya “What are Universities for”, beliau menyatakan bahawa universiti seharusnya menjadi satu ruang inkuiri bebas yang sentiasa dilindungi daripada campur tangan kuasa luar.

Maka, adalah menjadi impian saya dan mahasiswa yang lain untuk melihat universiti/institusi pendidian di Malaysia ini bebas secara total daripada pengaruh dan kongkongan kerajaan. Ini merupakan salah satu reformasi institusi yang wajib dilaksanakan oleh para pemerintah selepas rejim UMNO. Jika gagal dilaksana, perlawanan demi perlawanan akan tetap diadakan oleh mahasiswa untuk merealisasikan impian ini.

Akhir sekali, saya sangat terkilan dengan tindakan pihak UIAM yang menghalang pelajarnya ( Sdr Syed Saddiq, Sdr Afiq Awang dan Sdr Yazid Khairul Azman) mengadakan diskusi berkenaan isu semasa di ruang awam didalam kampus. Saya juga mengecam tindakan pihak pentadbiran UM yang membatalkan program wacana bersama Tun Mahathir yang dijadualkan pada 18 Mac 2016.

Mahasiswa juga tidak akan melupakan tindakan curang pihak pentadbir terhadap kes-kes UKM4, UMSKAL16, UiTM1,UM8, UIA1, UIA3M, UKM13, UIA2, UKM6, UM6.
Bebaskan Universiti Secara Total !

* Azzan Aznan adalah Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia


Tiada ulasan: