Rabu, 9 Mac 2016

Mukhriz: Najib dedah BN belanja RM1.5b untuk PRU13

MALAYSIAKINI


Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pertemuan dengan ketua perhubungan Umno mengakui bahawa BN membelanjakan RM1.5 bilion untuk pilihan raya umum ke-13.

Mukhriz berkata beliau diberitahu perkara ini selepas menyoal Najib mengenai wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri yang didakwa sebagai sumbangan politik dari Timur Tengah.

Oleh itu, Mukhriz mempersoalkan bagaimana Najib boleh mengembalikan RM2.03 bilion daripada RM2.6 bilion jika RM1.5 bilion telah dibelanjakan untuk pilihan raya.

"Apa yang saya dapati pelik dan ingin tahu tentang RM2.6 bilion yang didakwanya derma (dari) Arab adalah jika beliau membelanjakan RM1.5 bilion pada pilihan raya umum ke-13 maka yang tinggal hanya RM1.1 bilion.

"Macam mana dia boleh kata pulangkan RM2.03 bilion balik kepada Arab? (Bagaimana baki dari RM1.1 bilion boleh jadi RM2 bilion?

"Benda ini budak-budak kecil pun boleh faham. Angka-angka semua ini tidak betul." katanya dalam video yang dimuat naik oleh blogger Din Turtle di Youtube.

Mukhriz, yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata demikian kepada ahli-ahli akar umbi Umno pada satu majlis di Kelantan pada Isnin lalu.

Tiada ulasan: