Khamis, 17 Mac 2016

Mubarak tolak 'Deklarasi Rakyat', Tun M terlucut jawatan Petron

DALIA ISMAIL


Mubarak dan 42 NG0 bersatu suara menentang usaha menjatuhkan Najib dan kerajaan BN.Mubarak dan 42 NG0 bersatu suara menentang usaha menjatuhkan Najib dan kerajaan BN.


Majlis Bekas Wakil  Rakyat Malaysia (Mubarak) bersama 42 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menandatangani  kenyataan bersama menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan yang memerintah hari ini.

Presiden Mubarak Tan Sri Abdul Aziz Rahman dalam kenyataan bersama wakil NGO berkata, setelah meninjau keadaan politik semasa dan melihat usaha pihak tertentu mendesak Najib berundur, pihaknya berpendapat ia tidak mengikut saluran demokrasi sebenar.

"Seorang perdana menteri hanya boleh ditolak bukan melalui Deklarasi Rakyat. Hanya ada tiga cara sahaja untuk menolak seorang perdana  menteri.

"Perdana menteri  boleh ditolak oleh ahli majlis tertinggi dan ahli Umno sahaja; melalui pilihan raya umum; dan jika Najib gila atau tidak siuman atau bankrap dan terbabit dalam jenayah," ujarnya dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel hari ini.

Kata Aziz lagi, usaha menjatuhkan perdana menteri bukan dengan cara bersekongkol dengan pemimpin pembangkang dan mengutip tanda tangan kerana ia jelas bertentangan dengan  proses demokrasi sebenar.

"Bukan cara nak kutip tanda tangan melalui internet itu bukan proses (demokrasi negara) dan bertentangan dengan sistem dan proses sedia ada seperti yang berlaku di negara Arab (Arab Spring)," ujarnya.

Kata Aziz lagi, setelah pembangkang gagal membawa usul undi tidak percaya di parlimen dan gagal menghasut ahli Umno dan rakyat untuk menjatuhkan perdana menteri, mereka mengumumkan 'Deklarasi Rakyat' yang bercanggah di segi perundangan.

“Rakyat sudahpun buat deklarasi sebenar dalam pilihan raya umum (PRU) lalu dan akan membuat deklarasi lagi pada PRU14 kelak,” katanya yang merujuk kepada sistem pilihan raya negara.

Ditanya mengenai kedudukan Tun Mahathir sebagai Petron yang dilantik Mubarak, Aziz berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada bekas perdana menteri itu kerana telah berkhidmat sebagai Petron sejak 2005 walaupun beliau bukanlah ahli Mubarak.

"Hari ini Tun sudah keluar Umno dan menentang Umno-BN. Kita buat keputusan untuk ucapkan terima kasih kepada Tun sebagai Petron sejak Mubarak ditubuhkan pada 2005 sewaktu beliau merasmikan mesyuarat agung mubarak di Ipoh ketika itu,” ujarnya yang membawa maksud jawatan Petron itu terlucut dengan sendirinya setelah Tun keluar dari Umno.

Dalam majlis ini Mubarak dan wakil 42 NGO menyatakan pendirian bersama untuk menentang dan mengutuk sekerasnya kumpulan tertentu yang ingin menggulingkan kepimpinan dan kerajaan.

Sikap dan tindakan yang dibuat melalui gerakan tersebut, ujar Mubarak tidak wajar dan menjejaskan keselamatan negara, agama dan bangsa.

Mubarak yakin bahawa rancangan kumpulan tersebut mengadakan ‘roadshow’ di seluruh negara bertujuan menghasut rakyat supaya bangun menentang kerajaan melalui kaedah ‘Arab Spring’ .

"Kami menggesa rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakyah kumpulan tersebut kerana ia boleh menghancurkan negara dan merugikan rakyat.

"Kami juga menyeru rakyat berdiri teguh dan bersatu mempertahankan perlembagaan dan pemerintah secara demokratik," pendirian bersama Mubarak dan NGO itu dipetik.

Tiada ulasan: