Jumaat, 18 Mac 2016

MUBARAK MACAM BUDAK-BUDAK, SIKIT-SIKIT NAK LUCUT JAWATAN.....

shahbudindotcom


 
 
Tindakan Majlis Bekas Wakil Rakyat atau Mubarak melucutkan jawatan Tun Mahathir Mohamad sebagai penaung persatuan itu dianggap sebagai kebudak-budakan dan tidak bijak.

Dalam keputusan yang dibuat dalam mesyuaratnya semalam, Mubarak mengatakan tindakan Tun Mahathir keluar UMNO dan menggerakan Deklarasi Rakyat untuk menentang Perdana Menteri, Najib Razak menyebabkan bekas Perdana Menteri itu tergugur daripada jawatannya kerana bertentangan dengan objektif persatuan berkenaan.

Yang Dipertua Mubarak Wilayah Persekutuan, Aziz Yassin berkata, tindakan Mubarak itu seperti "budak-budak yang tidak boleh menerima perbezaan."

"Mubarak adalah bersifat kebajikan, bukan dalam kancah berebut kuasa dan tak tak perlu sampai nak pecat atau lucut jawatan hanya kerana adanya perbezaan yang berlaku," katanya.

Lagi pula, dakwa beliau, tiada peruntukan dalam perlembagaan Mubarak bahawa penaungnya mesti ahli UMNO.

Dengan bertindak sedemikian, tambah Aziz, Mubarak lebih terlihat sebagai "badan pengampu" kepada mereka yang berkuasa semata-mata.
 
 
 
 
Sebaliknya, kata beliau, Mubarak sepatutnya bertindak dan menangani  isu melibatkan Tun Mahathir ini dengan matang, sesuai dengan cerminan kedudukan mereka sebagai bekas pemimpin dan wakil rakyat yang dihormati masyarakat.

Menurut Aziz yang juga Presiden Pemikir, beliau tidak hadir dalam mesyuarat yang membuat keputusan itu dan langsung tidak setuju dengan tindakan Mubarak itu.

Dengan ini, jelasnya, beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan secara serta merta sebagai Ahli Majlis Tertinggi Mubarak Kebangsaan.


Tiada ulasan: