Rabu, 16 Mac 2016

MT Umno putuskan tindakan terhadap Muhyiddin, Mukhriz hujung Mac ini

Oleh Sharifah Azmawati Syed Aziz

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Keputusan desakan ahli parti yang mahu Umno memecat keahlian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir hanya boleh diketahui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi hujung Mac ini.
 
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, setakat ini Umno masih belum memutuskan keputusan bersabit desakan tersebut walaupun banyak laporan diterima parti.
 
"Tidak, kami perlu tunggu sehingga ke mesyuarat (tersebut).
 
"Mereka tidak mewakili dalam Majlis Tertinggi," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Lobi Parlimen hari ini.
 
Beliau mengulas mengenai desakan pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz selepas didapati terbabit dalam pengisytiharan Deklarasi Rakyat baru-baru ini.
 
Usul pemecatan itu sebelum ini disuarakan oleh Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Nazri Aziz.
 
Nazri berkata, Muhyiddin dan Mukhriz bertindak melampaui batas kerana menjadi sebahagian daripada komplot menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak.
 
Hishamuddin dalam pada itu berkata, Umno menerima desakan akar umbi untuk segera merujuk kepada tindakan Muhyiddin dan Mukhriz kepada Jawatankuasa Disiplin parti.
 
"Saya juga menerima desakan dan permintaan daripada bukan sahaja ahli-ahli MT, tetapi daripada ahli-ahli akar umbi, dan perkara penting ialah melihat kepada masalah ini ialah disiplin parti.
 
"Dan saya rasa itu adalah isu dan perbincangan dekat jawatankuasa disiplin, hanya MT sahaja ada kuasa untuk membuat keputusan, jadi orang boleh kata apa sahaja mereka suka sehingga MT yang buat keputusan dan masih tiada lagi keputusan untuk perkara itu," katanya.
 
Dalam perkembangan lain, Hishamuddin yang juga merupakan Menteri Pertahanan berkata, walaupun terdapat pelbagai demonstrasi jalanan dan perhimpunan yang akan dibuat pada hujung bulan ini, namun menegaskan ia dapat diuruskan dengan baik oleh pihak berkuasa.
 
"Ya memang ada banyak demo dan ada banyak semburan air dan ada juga banyak ramalan yang kononnya tahun lepas ada yang nak usul undi tidak percaya, bajet tidak diluluskan, pemimpin luar negara tidak mahu datang ke Malaysia, itu semua tidak menjadi.
 
"Kalau mereka mahu mengadakan demonstrasi itu, kita hanya perlu berurusan dengan mereka, sebab di akhirnya, orang awam yang membuat perubahan dan bukannya mereka yang menjerit di luar.
 
"Mereka mungkin menjerit kuat tetapi mungkin mereka tidak mewakili suara majoriti," tambahnya. 
 
Untuk rekod, perhimpunan Muafakat Selamatkan Malaysia akan diadakan pada 27 Mac ini anjuran Datuk Zaid Ibrahim itu mungkin disertai Tun M dan Muhyiddin, selain pemimpin PKR dan DAP.  


Tiada ulasan: