Rabu, 23 Mac 2016

M'sia destinasi pemerdagangan manusia - Zahid

MALAYSIAKINI




Malaysia kini menjadi negara destinasi bagi sindiket pemerdagangan manusia menempatkan pendatang, berikutan kemajuan dan peluang pekerjaan yang ada, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengambil beberapa langkah segera untuk menangani perkara itu kerana ia boleh membawa kepada masalah jenayah domestik oleh rakyat asing.

Katanya, kerajaan sangat komited untuk membanteras jenayah pemerdagangan manusia dan akan memberi saranan kepada negara-negara terlibat bagi mengatasi masalah berkenaan sempena persidangan Bali Process yang berlangsung di Bali, Indonesia.

Beliau berkata, jika dahulunya Malaysia adalah sebuah negara transit tetapi kini pendatang asing tanpa izin memasuki negara dan kemudian membuang segala dokumen pengenalan diri bagi menghilangkan identiti warganegara mereka.

"Dulunya Malaysia adalah negara transit untuk rakyat asing ke Australia dan negara-negara lain tetapi sekarang ini mereka menjadikan Malaysia sebagai negara destinasi terakhir ekoran peluang pekerjaan yang ada," katanya kepada wartawan Malaysia hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berada di Bali bagi menghadiri persidangan Bali Process iaitu persidangan mengenai isu penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini.

Katanya, antara masalah yang dihadapi ialah negara asal golongan imigran secara haram itu tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat lagi kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata, masalah seumpama itu akan dibincangkan dalam persidangan berkenaan oleh negara-negara ASEAN dan 44 buah negara lain yang terlibat dalam Bali Process.

"Kita melihat ada semacam ketidakserataan dari segi kebertanggungjawaban.

“Dulu negara sumber bagaikan melepas tangan apabila ada warga mereka menjadikan beberapa buah negara lain yang dianggap sebagai syurga terakhir menempatkan diri dan tinggal di negara berkenaan sama ada untuk mencari rezeki atau alasan ekonomi dan politik," katanya.

Beliau berkata, disebabkan itu negara sumber harus dilibatkan untuk mengatasi masalah yang timbul agar mereka boleh mencari punca masalah penyeludupan dan pemerdagangan manusia itu.

"Kita juga akan melihat permasalahan dari segi kawalan dan perlindungan yang dilakukan dan mendapatkan kerjasama daripada negara terbabit terutama (aspek) kawalan laut dan pintu sempadan di darat," kata beliau.

Zahid berkata, masalah pemerdagangan manusia itu adalah tanggungjawab bersama antara negara sumber, perlu ada satu kaedah bagi memantau dokumen perjalanan kerana jenayah penyeludupan manusia itu menggunakan kaedah memasuki secara haram ke sesebuah negara menerusi jalan laut dan darat.

"Kita juga akan beri saranan kepada UNHCR agar tindakan yang dilakukan bukan sekadar memantau dan membantu negara sumber sahaja kerana (sindiket) memalsukan dokumen tidak seharusnya diselesaikan oleh satu pihak, ia memerlukan kerjasama agensi (pengkuatkuasa) di peringkat antarabangsa," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai kaedah tersendiri untuk mengenal pasti kerakyatan asal pendatang tanpa izin, walaupun mereka menggunakan dokumen palsu atau ketiadaan dokumen.

"Sebagai contoh ada warga Bangladesh buang dokumen dan mengaku rakyat Myanmar kerana bahasa dan agama yang sama tetapi siasatan dan risikan bahagian penguatkuasaan Imigresen dan Polis serta beberapa badan risikan lain akan mengenal pasti identiti kerakyatan mereka," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pendatang tanpa izin adalah dari negara jiran dan faktor tarikan mereka ke negara ini ialah peluang pekerjaan.

Katanya, sebagai langkah mengatasi masalah pekerja asing bagi jangka panjang, syarikat perindustrian berasaskan modal dan bukan lagi berasaskan tenaga buruh.- Bernama


Tiada ulasan: