OLEH SHAHBUDIN EMBUN (Lawyer pokok cherry)
Sejak kebelakangan ini bukannya sesuatu yang memeranjatkan jika kita terdengar berita yang
menyatakan kesudian PAS untuk bekerjasama dengan UMNO. Bahkan tidak
berapa lama dahulu, ramai pemerhati politik sudah meramalkan gabungan
ini akan berlaku juga akhirnya.Pelbagai andaian telah dibuat, apatah
lagi apabila adanya gambar yang memaparkan Presiden UMNO datuk Seri
Najib Tun Razak dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi
Awang.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu, dan para pemerhati politik menantikan satu pengumuman rasmi tentang kerjasama antara dua parti ini. Tetapi akhirnya PAS membuat kejutan dengan bakal mewujudkan pakatan politik “Kuasa Ketiga” yang akan diumumkan pada 16 Mac 2016.
Gabungan ini dikatakan merupakan strategi PAS untuk menarik para
pengundi yang marah dan tidak puas hati dengan UMNO dan berasa sangsi
dengan keupayaan Pakatan Harapan, yang dilihat tidak mempunyai harapan
untuk membentuk satu pakatan yang mantap.
Namun persoalannya ialah adakah kuasa ketiga ini mampu menawarkan
alternatif kepada para pengundi khasnya yang duduk di atas pagar.Penulis
merasakan gabungan yang bakal wujud ini tidak mampu untuk melakukan
perubahan politik yang drastik di negara kita.Apatah lagi parti-parti
yang dikatakan akan menyertai gabungan ini bukanlah kuasa besar yang
boleh mengubah suasana politik di Malaysia.
Bahkan ada rakan penulis yang merasakan penubuhan Kuasa Ketiga ini
hanya sekadar untuk mengurangkan pengaruh dan menewaskan Parti Amanah
Negara dalam Pilihanraya Umum akan datang. Apa yang dimaksudkan ialah,
jika adanya pertarungan satu lawan satu dengan PAN, maka Kuasa Ketiga
yang akan jadi faktor penentu kepada kemenangan PAS. Kemungkinan itu
ada, tetapi penulis menganggap pastinya ada agenda lain apabila Kuasa
Ketiga ini dibentuk.
Ada pihak yang menyatakan PAS sebenarnya mempunyai kekuatan sendiri dan
tidak perlu membuat sebarang pakatan.Apatah lagi ada pihak yang sudah
menganggap PAS adalah alternatif yang perlu diberikan perhatian yang
serius. Realitinya, PAS harus berpijak di bumi nyata. Kekuatan yang
menjadi kebanggaan parti ini mungkin hanya wujud di atas kertas sahaja.
Perlu diingatkan juga bahawa PAS juga sudah mula tergugat apabila bekas
para pemimpin utama parti itu menubuhkan Parti Amanah Negara.PAS juga
pastinya tidak akan menyertai Pakatan Harapan selagi adanya DAP dalam
gabungan tersebut.Dan melihatkan kepada perhubungan antara PAS dan DAP,
rasanya agak mustahil untuk PAS dan DAP tiba-tiba menghulur semula
tangan persahabatan.
Namun masih ramai juga pemerhati politik yang menganggap PAS sepatutnya
menguatkan lagi hubungannya dengan UMNO.Alasan yang mereka berikan
adalah mudah. Gabungan PAS dan UMNO bukan sahaja akan menghentikan
persengketaan yang lama wujud antara dua parti ini, tetapi juga akan
mengukuhkan lagi perpaduan Melayu dan Islam di negara kita.
UMNO dan PAS adalah dua parti yang terbesar dan yang paling
berpengaruh di negara kita. Walaupun sejak kebelakangan ini,kedua-dua
parti ini dihimpit dengan pelbagai dugaan dan cabaran, namun UMNO dan
PAS masih dilihat sebagai parti tunjang yang mampu mencorakkan scenario
politik di negara kita.
Dan walaupun penulis telah menyatakan yang kekuatan PAS boleh diragui,
tetapi dalam istilah permainan bolasepak, PAS boleh memainkan peranan
sebagai “spoiler” ataupun penentu kejayaan sesuatu parti itu.
Dalam pengertian gabungan UMNO dan PAS,maka perlulah diambil istilah
yang lebih meluas.Kerjasama di sini bukan bermaksud duduk di meja bulat ,
bersidang di hotel 5 bintang dan kemudiannya menandatangani perjanjian
di atas sehelai kertas. Tidak semestinya sesuatu perikatan itu dibentuk
secara formal.
Mungkin ada yang lupa bahawa pada bulan Disember 2015, ketika
berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib
Tun Razak, secara rasminya telah menghulur ‘tali silaturrahim kepada
PAS bagi membina dan membangunkan Malaysia mengikut syariat Islam
selepas parti Islam itu tidak lagi bersama pembangkang, khususnya
DAP.Inilah kerjasama yang boleh memberikan impak yang positif kepada
pembangunan agama, bangsa dan negara.
Tangan persahabatan sudah dihulur dan kini terpulang kepada PAS untuk menyambutnya.~
* (telah disiarkan oleh Berita Minggu, 13 Mac lalu)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan