Selasa, 8 Mac 2016

Mengapa perlu sekat maklumat?



Oleh SYAHREDZAN JOHAN


SEBELUM ada internet, kerajaan menguasai maklumat. Kerajaan boleh menentukan maklumat apa yang disalurkan kepada rakyat dan juga apa yang diketahui oleh rakyat. Kerajaan mempunyai monopoli ke atas maklumat.

Ini semua bertukar dengan kewujudan internet. Apatah lagi dengan perkembangan teknologi, mula-mula dengan adanya blog dan kemudian laman media sosial seperti Facebook dan Twitter. Telefon bimbit pintar juga semakin murah, dan ini bermakna semakin ramai orang yang boleh mempunyai akses internet.

Maka kerajaan tidak lagi mempunyai monopoli ke atas maklumat. Maklumat boleh datang dari pelbagai sumber; media alternatif, media asing, parti politik, badan bukan kerajaan dan lebih penting lagi, orang awam. Kerajaan hanyalah salah satu daripada begitu banyak ‘saudagar’ maklumat dalam pasar maklumat yang luas. 
 
Ungkapan yang sering diulangi, bahawa maklumat kini berada di hujung jari, adalah benar walaupun klise.
Tetapi kerajaan bagaikan tidak tahu bagaimana mereka wajar bertindak dalam satu keadaan di mana maklumat bukan lagi dalam kawalan mereka.

Mereka tidak dapat menangani keadaan apabila kunci untuk mengawal aliran maklumat tidak lagi dalam tangan mereka. Mereka takut, apabila rakyat sudah mula menggunakan maklumat untuk mempertikaikan mereka.

Oleh itu, suatu cara yang mereka tahu; cuba menghalang maklumat yang disampaikan. Inilah sebabnya kita melihat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat akses kepada beberapa laman sesawang atas alasan bahawa laman sesawang tersebut telah melanggar undang-undang.

Walhal sebenarnya SKMM tidak punyai kuasa secara khusus untuk menyekat laman sesawang tersebut atas alasan yang diberikan. Malahan apa yang telah mereka lakukan adalah bertentangan dengan jaminan kerajaan melalui Koridor Raya Multimedia, atau MSC, iaitu tidak akan ada tapisan (censorship) internet.

Sekiranya mereka tidak punya kuasa untuk berbuat demikian, maka tindakan mereka dalam menyekat akses ke laman sesawang tersebut bertentangan dengan perlembagaan dan boleh dicabar.

Alasan yang diberikan oleh kerajaan untuk menyekat laman sesawang yang berkenaan juga tidak masuk akal dan menghina rakyat. Dikatakan bahawa laman sesawang tersebut ‘mengelirukan’, ‘memberi maklumat salah’ dan macam-macam lagi.

Alasan-alasan seperti ini menganggap bahawa rakyat adalah bodoh dan tidak dapat membezakan apa yang betul dan apa yang salah. Kalaupun benar bahawa apa yang dilaporkan itu salah atau tidak betul, bukanlah bidang kuasa kerajaan untuk ‘melindungi’ rakyat dengan sekatan.

Biar rakyat yang tentukan dengan sendiri.

Tindakan menyekat laman sesawang adalah tindakan yang juga dibuat oleh kerajaan-kerajaan yang mempunyai rekod hak asasi yang buruk seperti negara komunis China.

Lebih penting lagi, tindakan SKMM menyekat laman sesawang sebenarnya tidak mendatangkan hasil dan tidak efektif. Ini kerana, terdapat pelbagai cara yang pengguna boleh gunakan untuk mendapat akses kepada laman sesawang tersebut.

Contohnya, pengguna boleh membaca kandungan laman sesawang tersebut melalui Facebook. Ataupun pengguna juga boleh menggunakan server DNS untuk mendapat akses. Pengguna juga boleh menggunakan aplikasi yang boleh dimuat turun bagi tujuan yang sama.

Laman sesawang luar negara tidak pula disekat aksesnya, walaupun dakwaan-dakwaan yang dikeluarkan jauh lebih berat daripada laman sesawang tempatan. Adakah kerajaan takut untuk menyekat laman sesawang antarabangsa, seperti laman berita yang tersohor, kerana mereka tahu tindakan tersebut akan menjadi berita muka depan akhbar-akhbar di seluruh dunia?

Sebab itu mereka lebih selesa ‘membuli’ laman sesawang tempatan?

Kerajaan tidak patut takut dengan maklumat. Mereka harus sedar bahawa dalam dunia moden tanpa sempadan ini, semua kerajaan harus berhadapan dengan rakyat bermaklumat. Kita adalah sebuah negara demokrasi. Daripada menyekat maklumat, lebih baik maklumat dilawan dengan maklumat.~sinarharian.com.my

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur


Tiada ulasan: