Jumaat, 18 Mac 2016

MARA serah dokumen hartanah Australia pada SPRM

Zulaikha Zulkifli

 


Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa menyerahkan dokumen berhubung maklumat terbaru berkaitan pembelian bangunan oleh Mara Incorporated Sdn Bhd di Melbourne, Australia kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berikutan pemberian dokumen terbaru itu, Annuar berkata, pihaknya akan sentiasa memberikan kerjasama kepada SPRM dalam melakukan penyiasatan yang melibatkan MARA.

"Kita perlu bekerjasama dengan SPRM dalam hal-hal berkaitan MARA atas dasar kalau saya ada dapat maklumat yang saya anggap baru, boleh bantu SPRM.

"Walaupun saya sendiri tak tahu apa perkembangannya sebab SPRM tak berkewajipan beritahu pada kita.
"Saya rasa kalau ada info baru untuk membantu saya rasa kita wajib beri perhatian sewajarnya kepada perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di bangunan SPRM di Putrajaya hari ini.

SPRM kini menjalankan siasatan berhubung pembelian bangunan Dudley International House di Melbourne, Australia yang didakwa diperoleh pada harga jauh lebih tinggi daripada pasaran.

Ia ekoran laporan akhbar Australia, The Age yang mendakwa seorang pegawai tinggi MARA, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik membelanjakan dana kerajaan secara berlebihan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dan melakukan penipuan hartanah.

Akhbar itu juga mendakwa “sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya” terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Selain itu, Annuar juga memberitahu bahawa MARA juga kini telah melantik barisan ahli lembaga pengarah yang baru bagi Mara Inc.

Menurut anggota parlimen Ketereh itu, kesemua ahli lembaga pengarah yang baru perlu menguruskan beberapa perkara terutama melibatkan hartanah di Australia.

"Kita telah lantik ahli lembaga yang baru semua sekali. Ahli lembaga yang lama kita tak perbaharui. Kita baru lantik minggu lepas.

"Ada empat orang kesemuanya dan mereka diberi amanah untuk mengambil segala tindakan yang perlu," katanya.

Sehubungan itu, beliau juga mengharapkan ahli lembaga pengarah yang baru itu menjalankan tugasan mereka dan belajar daripada kesilapan bagi memastikan perkara yang berlaku sebelum ini tidak berulang.

"Ahli lembaga pengarah yang baru kena ambil perkara ini sebagai satu benda yang serius," katanya lagi.


Tiada ulasan: