Isnin, 7 Mac 2016

GERAMM lancar kempen bantah pindaan Akta SKMM

MALAYSIAKINI





Gerakan Media Marah (GERAMM) akan menjalankan semula kempen media sosial mereka, kali ini bagi memberi tekanan terhadap cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dalam satu kenyataan media hari ini, GERAMM berkata pindaan itu antara lain akan memperkenal hukuman lebih keras dan dijangka akan dibentangkan di parlimen bulan ini.

"Geramm sekali lagi menegaskan pendirian kami bahawa pindaan ini hanyalah satu lagi usaha kerajaan untuk menyekat hak kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat," kata kumpulan itu.

Januari lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pindaan tersebut akan menyelaraskan penguatkuasaan dalam menyekat laman blog yang didakwa 'memfitnah institusi kepimpinan negara'.

Beliau berkata turut disekat ialah artikel dan catatan dalam laman sosial yang menggugat ketenteraman dan kestabilan negara serta melanggar Akta Hasutan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, GERAMM memandang serius isu penutupan The Rakyat Post pada 29 Februari lalu yang dianggap sebagai siri terbaru penstrukturan laman berita.

Kumpulan itu difahamkan, kakitangan portal berkenaan diberhentikan tanpa mendapat pampasan dan notis sewajarnya.

Mangsa penstrukturan media

Sehubungan itu seramai 30 kakitangannya memfailkan laporan di Jabatan Buruh bagi menuntut gaji tertunggak mereka bagi bulan Januari dan Februari.

"Geramm melihat langkah ini sebagai tidak adil, apatah lagi ramai kakitangan tiada sumber pendapatan lain sepanjang tempoh mencari kerja baru.

"The Rakyat Post hanyalah kes terbaru dalam siri penstrukturan semula laman berita, yang turut melibatkan beberapa lagi laman berita atas talian dalam tempoh dua tahun," ujarnya.

Meskipun akur bahawa pemilik media berhak menghentikan operasi mereka, GERAMM berpendapat proses tersebut tidak seharusnya mengorbankan kebajikan kakitangan tanpa memberi notis dan pampasan sewajarnya.

"Penubuhan dan penutupan laman berita secara sewenang-wenang demi agenda berkaitan politik adalah ancaman serius terhadap amalan kewartawanan yang sepatutnya, hak orang awam untuk mendapat maklumat serta kebajikan wartawan dan kakitangan lain yang hanya menjalankan tugas," katanya.

GERAMM merupakan perikatan longgar wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuangkan kebebasan media.

Tiada ulasan: