Selasa, 15 Mac 2016

Mahfuz akui terkejut, tak sabar tunggu pengumuman Pas

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengaku terkejut ketika ditanya mengenai blok perpaduan politik baharu yang bakal dibentuk Pas.

Menjelaskan tidak terlibat dengan perbincangan mengenai pembentukan blok tersebut, Mahfuz mendakwa hanya mengetahuinya menerusi pengumuman yang dibuat Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Mahfuz lagi, beliau akan menunggu pengumuman daripada Pas berkaitan blok politik ketiga itu.

"Saya tidak tahu apa-apa (mengenai perkara itu). Saya pun sebenarnya terkejut dengan berita itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Perubahan akan bantu Pas kekal relevan ]

"Mereka tidak ada bincang apa-apa dengan saya. Itu perbincangan melibatkan pimpinan atasan. Bagaimanapun saya tidak sabar menunggu pengumuman nanti," katanya ketika ditemui Sinar Online di sidang Dewan Rakyat, Parlimen, hari ini.

Pas akan mengumumkan pembentukan blok pembangkang baharu yang melibatkan sebuah parti pelbagai kaum dan NGO pada 16 Mac ini.

Takiyuddin seperti yang dipetik sebagai berkata, blok politik ketiga itu diharapkan setanding dengan Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Tiada ulasan: