Isnin, 7 Mac 2016

Mahathir: Idea AG bagi kukuhkan OSA dari minda primitif

MALAYSIAKINI




Rancangan peguam negara untuk mengukuhkan Akta Rahsia Rasmi bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan untuk pendedah maklumat didakwa hanya mendedahkan 'minda primitif' beliau.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu juga tidak islamik kerana al-Quran berulang kali menggesa umatnya menghakimi sesuatu perkara dengan adil.

“Hukuman mesti sepadan dengan jenayah. Ia tidak sepatutnya berlebih-lebihan.

“Termasuk kepada musuh pun, kamu mesti berlaku adil, jika kamu menuruti ajaran al-Quran,” katanya dalam blog hari ini.

Dalam wawancara di Sinchew Daily bulan lalu, peguam negara mendedahkan sedang merancang mengukuhkan OSA supaya pembocor maklumat kerajaan dihukum penjara seumur hidup dan disebat 10 kali.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini memberitahu Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) bahawa cadanganya itu bukan bertujuan menjadikan wartawan sebagai sasaran secara khusus.

Dalam tulisan di blog, Dr Mahathir berkata OSA tidak boleh digunakan untuk melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan oleh penjawat awam.

"OSA ini bukan bertujuan menjadikan perbuatan jenayah oleh pegawai dan kakitangan kerajaan sebagai rahsia.

"Perbuatan jenayah seumpama itu tidak dilindungi oleh undang-undang. Mereka perlu disiasat oleh pihak berkuasa dan dihadapkan ke mahkamah," kata bekas perdana menteri itu.

Tambahnya melindungi dan menutup kes itu sendiri adalah satu jenayah.
Beliau merujuk kepada ‘derma’ RM2.6 bilion yang berada dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Apandi telah membebaskan Najib daripada sebarang salah laku jenayah dalam kes ‘derma’ RM2.6 bilion dan juga dana RM42 juta dari SRC International yang juga dijumpai dalam akaun bank Najib.

Tiada ulasan: