Rabu, 2 Mac 2016

Lahad Datu: Tian Chua kekal bebas tuduhan

Tian Chua
Tian Chua


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan mahkamah sesyen yang membebaskan Naib Presiden PKR, Tian Chua daripada tuduhan menghasut berhubung kenyataannya mengenai insiden Lahad Datu, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan semalam sekali gus menolak rayuan pendakwaan.

Nordin dalam penfhakimannya berkata, mahkamah mendapati pendakwaan gagal mengemukakan bukti bahawa Ahli Parlimen Batu itu mengeluarkan perkataan menghasut di portal berita.

"Tiada bukti kukuh menunjukkan artikel yang ditulis oleh wartawan Nooraoshah Geoffery dalam portal berita Keadilan Daily .com mempunyai kaitan dengan Tian Chua," katanya.

Menurutnya, dalam keterangan wartawan tersebut, mahkamah mendapati, ia menyatakan Tian Chua tiada menyebut secara spesifik perkataan menakut-nakutkan rakyat dan serangan tembak menembak sebaliknya diolah oleh sub editor.

"Dia juga menyatakan ayat yang terkandung dalam artikel tersebut adalah hasil perbualan telefonnya dengan Tian Chua.

"Dengan itu rayuan ditolak dan keputusan hakim mahkamah sesyen dikekalkan," katanya.

Pada 14 November 2014, Hakim Norsharidah Awang melepas dan membebaskan Tian Chua tanpa perlu dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Tian Chua didakwa membuat kenyataan kononnya pencerobohan di Lahad Datu adalah konspirasi terancang Umno untuk mengalihkan perhatian dan menakut nakutkan rakyat.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu, off Jalan Yew di sini pada kira-kira 11 pagi 1 Mac 2013 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Pertuduhan itu membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, dan penjara lima tahun bagi kesalahan seterusnya.

Tian Chua yang hadir dan diwakili peguam N. Surendran dan Latheefa Koya manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim.


Tiada ulasan: