Selasa, 22 Mac 2016

Kutipan GST tahun lalu RM27 bilion

BERNAMA




Kutipan bersih cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM27.01 bilion, kata Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut kementerian itu, kutipan tersebut dibuat setelah mengambil kira tuntutan kredit ke atas cukai enam peratus tersebut diperingkat input perniagaan bagi tempoh sembilan bulan.

GST mula berkuat kuasa pada 1 April tahun lepas.

Kementerian Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang) mengenai jumlah sebenar keseluruhan kutipan GST yang diperoleh kerajaan.

Mohamed Hanipa turut bertanyakan daripada jumlah kutipan tersebut, berapakah yang telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan berapakah jumlah yang tidak dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

"GST merupakan hasil Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, kesemua kutipan tersebut akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan bersama hasil-hasil Kerajaan Persekutuan yang lain," kata kementerian tersebut.

Sementara itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia baru-baru ini dikatakan yakin mampu mencapai sasaran kutipan cukai sebanyak RM52 bilion tahun ini seperti yang ditetapkan oleh kerajaan dalam Bajet 2016.
-Bernama


Tiada ulasan: