Isnin, 14 Mac 2016

Kit Siang: TMI jadi mangsa pemerintahan Najib

MALAYSIAKINI




The Malaysian Insider (TMI) adalah mangsa terbaru pemerintahan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, kata pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang.

"Najib dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak mungkin bangga dengan pencapaian mereka menyebabkan ‘kematian’ TMI, terutama dengan tindakan kerajaan menyekat portal berita itu bulan lalu.

"Tetapi bagi rakyat yang mampu berfikir, tiada apa yang patut digembirakan tetapi perasaan dukacita yang amat besar berhubung kematian TMI," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang menyekat TMI pada ulangtahun kelapan portal itu pada 25 Februari lau kerana menyiarkan rencana mengenai Najib.

Editor TMI, Jahabar Saddiq hari ini mengumumkan bahawa portal berita akan ditutup berkuat kuasa tengah malam ini.

Beliau berkata pemilik syarikat itu, Kumpulan The Edge Media membuat keputusan berkenaan atas sebab-sebab komersial.

Sementara itu, penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The Edge Media, Ho Kay Tat mengesahkan bahawa portal berkenaan tidak menerima sokongan komersial yang mencukupi bagi memastikan ia dapat berterusan.

Kumpulan The Edge Media, katanya, mengalami kerugian kira-kira RM10 juta dalam tempoh 20 bulan sejak ia mengambil alih portal itu pada Jun 2014.

Tiada ulasan: