Rabu, 9 Mac 2016

Kit Siang digelar ‘manusia paling bijak di Malaysia’

Susulan kenyataannya yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong hanya membaca teks ucapan yang disediakan kerajaan Persekutuan.


kit-siang-pandikar


KUALA LUMPUR: Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyindir Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan menggelarnya manusia paling bijak di Malaysia kerana mendakwa titah Yang di-Pertuan Agong adalah ucapan yang disediakan Datuk Seri Najib Razak.

“Saya rasa dia manusia paling bijak di Malaysia. Tidak ada bawah peraturan mesyuarat buat kenyataan di luar Dewan Rakyat ambil tindakan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Pandikar Amin bagaimanapun berkata ia terpulang kepada rakyat untuk menilai kenyataan yang dikeluarkan Ketua Parlimen DAP itu.

“Biar orang ramai yang lihat,” katanya sambal menambah, tiada tindakan akan dikenakan terhadap Ahli Parlimen Gelang Patah itu kerana kenyataan itu tidak melanggar Peraturan Dewan Rakyat.

“Terpulanglah. Bagi saya, kalau dia sudah begitu dia cuma melanggar etika Parlimen. Mengapa dihujah,” katanya.

Kit Siang sebelum ini mendakwa, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hanya membacakan teks ucapan yang disediakan Kerajaan Persekutuan kerana bertitah menyatakan hasrat supaya mengekalkan pentadbiran sedia ada bagi menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

“Ucapan Agong disediakan kerajaan,” kata Lim yang ketika ini digantung selama 6 bulan dari menghadiri sidang Dewan Rakyat sejak Oktober lalu.

Tuanku Abdul Halim bertitah demikian ketika Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Parlimen ke-13, Isnin lalu.

Dalam titah baginda, Tuanku Abdul Halim menyeru ahli Parlimen berhenti berpolitik atas kepentingan sempit kerana ia melelahkan rakyat dan kerajaan dan ia berlaku sejak sekian lama.

Tiada ulasan: