Khamis, 17 Mac 2016

Kerajaan perlu perjelas penglibatan Malaysia dalam latihan North Thunder

MALAYSIA DATELINE


Datuk Raja Kamarul Bahrin ShahDatuk Raja Kamarul Bahrin ShahPengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendesak kerajaan menjelaskan penglibatan Malaysia dalam latihan North Thunder di Asia Barat.

Beliau berkata, kerajaan perlu berhati-hati dalam apa jua tindakan dan dasar luar negara supaya tiada campur tangan tanpa keperluan dalam hal ehwal negara yang bergelora terutamanya di Timur Tengah.

Malangnya kata beliau, dasar berkecuali dan tidak campur tangan Malaysia sejak zaman Tun Razak menjadi Perdana Menteri tidak lagi diamalkan kerajaan hari ini.

“Mengapakah Malaysia menghantar tentera kita dalam latihan ketenteraan besar-besaran Asia Barat di Arab Saudi baru-baru ini?

“Malaysia tidak pun masuk dalam definisi Asia Barat dan hanya Negara Arab dan Afrika serta rantau tersebut yang menyertainya. Indonesia dan Turki pun tidak mengambil bahagian ! Sedarkah Malaysia, latihan itu adalah persiapan serangan darat ke atas Syria dan rantau lain di Timur Tengah.

“Latihan tersebut dipanggil 'north thunder' adalah kumpulan kedua terbesar selepas operasi 'desert storm' yang ditaja oleh Amerika dan kumpulan yang menyertai adalah axis pro-Amerika.

“Malaysia bukanlah sebahagian daripada Asia Barat dalam kumpulan latihan tersebut.  Malaysia juga bukan dari utara untuk layak menyertai latihan 'north thunder'. Malaysia Negara Timur dan terletak di Equator jauh dari utara.

“Kerajaan Malaysia telah bertindak tidak bertanggung jawab dengan mendedahkan negara kepada bahaya serangan militan Timur Tengah yang marah dengan campur tangan kita.

“Apa sudah jadi dengan dasar tidak campur tangan kita?” soalnya dalam satu kenyataan petang ini.

Justeru Raja Kamarul Bahrin yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan justifikasi penglibatan Malaysia dalam latihan 'north thunder'.
"Mengapakah Keselamatan Malaysia diperjudikan dalam ehwal negara yang jauh dari kita dan rakyat sendiri diletakkan dalam bahaya jika pengganas bertindak balas.
“Adakah penglibatan Malaysia untuk mengambil hati kerajaan Arab Saudi dalam isu derma RM2.6 billion kepada Datuk Seri Najib daripada Arab Saudi?

“Kalau ini adalah motif utama, ini adalah tindakan sangat tidak bertanggung jawab dan memperjudikan nyawa rakyat Malaysia demi kepentingan peribadi semata-mata,” terangnya.

Sebagai rekod 20 negara akan terlibat dalam latihan perang ‘North Thunder’ di Arab Saudi.

Negara-negara itu adalah Arab Saudi, UAE, Jordan, Bahrain, Senegal, Sudan, Kuwait, Maldev, Moroko, Pakistan, Chad, Tunisia, Kepulauan Comoro, Djibouti, Oman, Qatar, Malaysia, Mesir, Mauritania dan Mauritius.

Tiada ulasan: