Jumaat, 18 Mac 2016

Kerajaan digesa wujudkan Tabung Haji kedua

 DALIA ISMAIL


Tabung Haji bangunanTabung Haji bangunan


Kerajaan digesa mewujudkan Tabung Haji (TH) kedua yang diuruskan pihak ketiga atau diswastakan dalam usaha memperkasakan pengurusan dan pelaburan wang pendeposit di masa hadapan, kata Ketua
Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Nadzim JohanNadzim Johan
Beliau berkata, rasional penubuhan TH kedua adalah untuk mengelakkan berlaku monopoli sumber kewangan selain memperkasakan perkhidmatan pengurusan haji agar kompetitif dan efisien.

“Kita perlu ada lebih daripada satu pemberi perkhidmatan. Bukan mahu kata pengurusan TH yang ada kini lemah, tetapi kita melihat dari sudut memperkasakan perkhidmatan TH itu sendiri di masa hadapan.

“Jika wujud TH kedua ia adalah satu persaingan sihat yang membolehkan perkhidmatan dan pengurusan haji yang lebih baik untuk dinikmati dikalangan pendeposit.

“Selain itu TH kedua ini juga sebolehnya diuruskan di kalangan individu yang tiada mempunyai kepentingan politik tetapi memiliki pengalaman yang luas dalam menguruskan dana bagi tujuan pelaburan dan menjaga kebajikan pendeposit,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Menurut Nadzim lagi, PPIM pernah mengemukakan cadangan mewujudkan TH kedua sejak lima tahun lalu tetapi, ujarnya kerajaan seakan tidak bersetuju tanpa memberikan sebarang maklum balas secara rasmi.

“Lima tahun lalu PPIM pernah mencadangkan akan perlunya kerajaan membenarkan penubuhan TH kedua.

“Ini ekoran PPIM ketika itu kurang bersetuju dengan pelaburan yang pernah dibuat oleh TH apabila mengambil keputusan melabur dalam syarikat pengeluar roti sebaliknya membawa kerugian RM90 juta.

“Saya rasa kasihan daripada dulu lagi TH seolah-olah menjadi tempat ‘dibebankan’ yang saya tidak tahu untuk siapalah.

“Kalau beli bangunan timbul isu bangunan; beli kapal, kapal terbakar; beli tanah, tanah mahal; begitulah nasib TH yang sudah lima dekad ini,” ujarnya.

Beliau juga menyentuh isu berkaitan dengan kos penerbangan untuk mengerjakan haji masih lagi pada harga yang tinggi.

“Walaupun kerajaan kata memberikan subsidi tambang kapal terbang kepada bakal haji tetapi yang menghairankan syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan pergi dan balik jemaah haji boleh mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit.

Ujarnya lagi dengan isu-isu terkini membabitkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) sedikit sebanyak menghakis keyakinan pendeposit terhadap kredibiliti TH dalam menguruskan sumber kewangan pencarum bagi tujuan pelaburan anak-anak syarikatnya.

Beliau turut menyarankan TH menubuhkan jabatan atau unit khas untuk memperbetulkan persepsi negatif umum terhadapnya.

Nadzim merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir pada Isnin yang membangkitkan kesan diterima TH susulan surat yang dikeluarkan Bank Negara kepada organisasi itu yang kemudian tersebar di media sosial.

Surat daripada Bank Negara itu menyentuh rizab kewangan TH yang dikhuatiri boleh menjejaskan keupayaan institusi itu untuk membayar dividen kepada para pencarum.

Jamil ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat memberi amaran bahawa pendeposit TH yang mengeluarkan deposit daftar haji bersama wang simpanan mereka akan hilang giliran menunaikan haji sehingga 70 tahun.

Semalam Malaysia Dateline juga melaporkan pandangan Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Muhd Faizal Abdul Aziz bahawa kerajaan harus segera menangani krisis keyakinan dan kepercayaan rakyat di kalangan pendeposit TH bukan dengan mengeluarkan kata ugutan kepada pencarum.

TH ditubuhkan pada 1959 atas cetusan idea Prof Diraja Ungku Aziz. Kini TH mempunyai 8.8 juta pendeposit.

Pada 1 Jun 1995 akta baru TH iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dikuatkuasakan yang memansuhkan akta lama.

Nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997, dan serentak dengan itu huruf TH diperkenalkan sebagai singkatan kepada Lembaga Tabung Haji.

Tiada ulasan: