Isnin, 7 Mac 2016

Keputusan tepat gugur Muhyiddin, kata pembantu Rosmah

MALAYSIAKINI




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak melakukan perkara tepat apabila menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalannya, kata pembantu kepada Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam tulisan di Facebook, Datuk Rizal Mansor berkata ini kerana tiada keperluan untuk Najib mengekalkan timbalan 'bebal' yang enggan menerima penjelasan mengenai pelbagai isu yang diutarakan.

"Mengapa perlu ada seorang timbalan yang bebal. Jika isu 1MDB yang telah diterangkan panjang lebar dalam kabinet pun beliau tak faham. Tetapi beliau faham apa yang ditulis dalam The Edge," kata Rizal merujuk kritikan Muhyiddin terhadap syarikat pelaburan negara itu.

Menurut Rizal beliau secara peribadi telah memberikan penjelasan terhadap semua isu utama melibatkan isteri Perdana Menteri sejak sebelum pilihan raya umum ke-13 sehingga hari ini .

Antaranya, isu besar mengenai cincin majlis perkahwinan anak kepada perdana menteri.

"Saya telah jelaskan dan jawab satu persatu fitnah-fitnah yang dilemparkan. Saya ada beri ceramah terbuka, buat kenyataan media dan juga penjelasan tertutup kepada beberapa tingkat pimpinan Umno dan Wanita. Rata-rata mereka menerima dan berpuas hati dengan jawapan saya," kata Rizal.

Selain itu, katanya beliau juga telah memberikan penerangan mengenai isu lain secara terperinci, namun tidak pasti sama ada Muhyiddin tidak berminat untuk mendengar atau tidak pernah ambil tahu mengenai jawapan yang diberikan.

"Maka Mahyuddin tidak boleh menyalahkan sesiapa apabila beliau gagal memberikan jawapan mengenai fitnah-fitnah tersebut disebabkan sikap beliau sendiri yang tidak mahu ambil peduli mengenai jawapan yang diberikan.


"Beliau lebih suka ambil pendekatan membiarkan sahaja presiden dilanda segala fitnah. Mungkin itu lebih baik untuk kepentingan politik beliau," katanya.
Sejak pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada Julai lalu, Muhyiddin terus mengkritik Najib dan menyokong penyingkirannya sebagai perdana menteri.
Muhyiddin kemudian digantung daripada jawatannya sebagai timbalan presiden Umno.
Jumaat lepas beliau menyertai Deklarasi Rakyat yang menyaksikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama gerakan pembangkang menggesa peletakan jawatan Najib.

Tiada ulasan: