Sabtu, 5 Mac 2016

Keluar Umno: ‎Petunjuk Dr M selepas dua tahun menegur

Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr Kamarul Zaman Yusoff


KOTA BHARU – Walaupun rata-rata pemimpin masyarakat terkejut dengan tindakan keluar parti yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad tempoh hari, namun sebenarnya ia merupakan tindakan susulan selepas ‘petunjuk’ yang diberikan sejak dua tahun lalu.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, jangkaan awal sudah dapat dilihat terutamanya dalam tulisan beliau bertajuk 'Menegur' pada 18 Ogos 2014.

“Tulisan itu jelas menunjukkan Mahathir menyebut mengenai keputusan beliau menarik balik sokongan kepada Datuk Seri Najib. Ketika ini alasan yang digunakan oleh Mahathir sangatlah umum, iaitu kerana 'banyak dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara'.

“Seterusnya, dalam tulisan beliau bertajuk 'Umno dan PRU 14' pada 2 April 2015, Mahathir pergi setapak lagi dengan mengumumkan bahawa 'rakyat sudah tidak percaya lagi kepada Datuk Seri Najib' dan 'ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar bahawa Umno dan BN akan kalah jika Datuk Seri Najib memimpin Umno hingga PRU 14'," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, penarikan sokongan Mahathir kepada Najib ini ternyata gagal mendapat perhatian dan sambutan ahli serta pemimpin Umno mahupun rakyat umum.

Beliau berkata, tulisan bekas perdana menteri itu yang bertajuk 'Bersih' pada 1 September 2015, jelas menyasarkan Ahli Dewan Rakyat Umno dan BN dengan menyebut, "saya rayu kepada Ahli Dewan Rakyat Umno dan BN supaya menyokong undi tidak percaya kepada Najib. BN tidak akan jatuh setelah Najib disingkir. BN masih parti majoriti.

“Malangnya, sekali lagi seruan Mahathir itidak mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Rakyat Umno dan BN, maka gagallah cubaan beliau untuk menjatuhkan Najib.

“Malangnya, walaupun pelbagai seruan dibuat, Mahathir masih lagi tidak mendapat perhatian dan sambutan daripada ahli dan pemimpin Umno, malah Najib masih utuh sebagai Presiden Umno selepas berakhirnya Perhimpunan Agung,” katanya.

Kamarul yang juga Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) berkata, apabila dilihat melalui konteks yang menyeluruh seperti ini, maka tindakan Mahathir keluar Umno adalah tidak lebih daripada luahan kekecewaan ke atas kegagalan beliau untuk mempengaruhi ahli dan pemimpin Umno serta BN untuk menggulingkan Najib.

Malah, Mahathir dilihat terdesak untuk berbuat sesuatu sekarang bagi membuktikan bahawa beliau masih berpengaruh.

Bagaimanapun, jika beliau menjangka bahawa Najib terpaksa meletakkan jawatan ekoran tindakan beliau keluar dari Umno, maka jangkaan Mahathir ini sudah pasti salah.

“Najib bukanlah Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan tidak mustahil keluarnya Mahathir dari Umno ini akan lebih menguatkan kedudukan Najib. Dengan tiadanya Mahathir di dalam Umno, maka Najib tidak lagi berhadapan masalah kewujudan duri dalam daging, berhadapan serangan dari luar adalah jauh lebih mudah daripada berhadapan serangan dari dalam.

“Jika tindakan Mahathir keluar dari Umno dilihat sebagai tamparan kepada Najib, maka bukankah Tun Dr Mahathir sendiri menerima tamparan jauh lebih hebat dulu apabila bukan seorang, tetapi dua orang bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri yang tidak bersama beliau, iaitu Tengku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn? Malang sekali jika saat-saat akhir kehidupan seorang negarawan yang pernah berjasa kepada tanah air tercinta disia-siakan dengan membiarkan diri dipergunakan,” katanya.


Tiada ulasan: