Isnin, 7 Mac 2016

Kelab S'pura hentikan set lagu deejay demi anak Najib?

MALAYSIAKINI




Kelab popular Zouk Singapura didakwa menghentikan set (senarai) lagu pilihan deejay Mesir yang terkenal Aly & Fila supaya set lagu anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Norashman - dapat dimainkan.

Kejadian dikatakan berlaku Sabtu lalu dan sedang disebarkan di media sosial dengan video berkenaan disiarkan di Facebook dan You Tube.

Ia juga dilaporkan dalam portal hiburan Coconuts Singapura dan SAYS.com.

Dalam video itu, Fila (Fadi Wassef Naguib) yang berang memberitahu hadirin: "[...] Nampaknya Zouk mahu mainkan set orang lain."




Ini menyebabkan hadirin membantah dengan ejekan.

"Bukan sahaja itu - tetapi nampaknya dia anak seorang perdana menteri. Terima kasih banyak-banyak, nikmati trek (lagu) terakhir saya.

"Kita akan berjumpa di tempat lain pada masa akan datang. Tetapi, tidak di Zouk lagi! Kerana saya tidak akan main di Zouk lagi. Mereka telah hina saya, tetapi saya sayang anda semua," katanya.

Zouk masih belum mengesahkan sama ada dakwaan bahawa set lagu deejay antarabangsa itu dihentikan supaya anak Najib dapat bermain berkenaan adalah benar.

Walau bagaimanapun, dalam satu catatan di laman Facebook, Zouk Singapore berkata, kejadian itu adalah hanyalah salah faham.

"Kami menghormati semua artis dan memastikan bahawa semua artis dapat melengkapkan set lagu mereka tanpa gangguan.

"Kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi. Zouk menghargai dan menghormati persembahan semua artis antarabangsa kami," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Zouk Singapura dan sedang menunggu jawapan mereka.

Cubaan juga dibuat untuk mendapatkan reaksi daripada jurucakap Norashman, Aly dan Fila serta kenyataan rasmi, pembantu Datin Seri Rosmah Mansor - Datuk Rizal Mansor mengenai kejadian itu.

Pada Oktober 2015, akhbar Straits Times Singapura melaporkan bahawa Zouk Singapura dijual pada harga yang tidak didedahkan kepada Genting Hong Kong (GHK) yang mengendalikan pelayaran kapal Star Cruises.

Tiada ulasan: