PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengisytiharkan "Kecemasan Gelombang Haba" di
kawasan yang mencapai suhu melampau melebihi 40 darjah Celsius selama
atau melebihi tujuh hari dalam tempoh cuaca panas dan kering yang
berpanjangan.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku
Jaafar, selain itu, sesi persekolahan akan ditangguhkan di kawasan yang
terbabit jika suhu melebihi 37 darjah Celsius selama lebih 72 jam dan
peningkatan suhu berterusan.
Beliau berkata, perkara itu adalah antara garis panduan yang
dipersetujui Kabinet pagi tadi bagi menangani kepanasan melampau yang
melanda negara ketika ini.
Wan Junaidi berkata, bagi tahap amaran pertama iaitu suhu melebihi 37
darjah Celsius, Jabatan Meteorologi akan mengeluarkan amaran gelombang
haba dan ketika itu, semua aktiviti pelajar di luar bangunan dan sukan
ditangguhkan, selain menasihatkan orang ramai supaya menghadkan aktiviti
luar terutama bagi warga emas dan kanak-kanak.
"Bagi tahap amaran kedua iaitu suhu melebihi 37 darjah Celsius selama
lebih 72 jam dan peningkatan suhu berterusan, tindakan bagi amaran
pertama akan diteruskan, selain menangguhkan sesi persekolahan dan
menyelaras Mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi membincangkan tindakan
kecemasan bagi menangani cuaca panas melampau berpanjangan," katanya
pada sidang media di sini, hari ini.
Wan Junaidi berkata, Kabinet juga bersetuju menubuhkan Jawatankuasa
Khas Bagi Menangani Gelombang Haba yang dipengerusikan oleh beliau
sendiri dan semua agensi yang berada di bawah jawatankuasa itu akan
melaksanakan semua pelan tindakan berkenaan.
Katanya, satu mesyuarat teknikal akan diadakan Isnin ini bagi
memperhalusi lagi pelan tindakan berkenaan dan membincangkan pelan
tindakan tambahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan