Rabu, 9 Mac 2016

Kampung sebelah Putrajaya, tapi tiada air, elektrik

 
Apa gunanya ERL bagi mereka yang hidup tanpa elektrik dan air bersih? Ikuti siri pertama pendedahan kampung Orang Asal yang diabaikan sejak Merdeka.
 
 
 



BANGI: Tak patut! Itulah ungkapan yang keluar daripada mulut apabila berada di kawasan perkampungan di Dengkil yang bersempadanan dengan Putrajaya.

Ini kerana, kawasan berkenaan yang penduduknya terdiri daripada Orang Asal dan sedikit orang Melayu masih lagi belum menikmati kemudahan asas iaitu bekalan elektrik dan air bersih.

Meskipun terletak di negeri paling maju di Malaysia serta jarak dalam radius lima kilometer dari pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kawasan berkenaan tidak sempurna dan terdapat beberapa kampung masih dalam keadaan daif.

Tinjauan FMT ke Dengkil mendapati sekurang-kurangnya tiga kawasan penempatan – Kampung Orang Asal Bukit Tunggul Blok A, Blok B dan Blok C – tidak mendapat akses elektrik dan air walaupun rumah mereka berdekatan dengan Jalan Kajang-Dengkil.

Manakala penempatan berhampiran, Kampung Orang Asli Bukit Jenuk pula baharu mendapat bekalan air bersih, tetapi tiada bekalan elektrik disalurkan.

Kesemua penempatan itu diduduki Orang Asal yang majoriti daripada suku Temuan, sedikit daripada suku Mah Meri, orang Melayu dan kaum India.

Walaupun kawasan perkampungan terbabit langsung tiada bekalan elektrik atau air, namun landasan Express Rail Link (ERL) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibina melalui kawasan itu.

Kampung Orang Asal Bukit Tunggul yang dibahagikan kepada tiga blok adalah yang paling daif, di mana kemudahan asas hampir tiada termasuk bekalan air bersih selain tiada sistem perparitan sempurna.

Kebanyakan tandas atau bilik air penduduk kampung terbabit terletak di luar rumah dan berdindingkan kain kanvas.

Penduduknya pula hidup dalam serba kekurangan dan bekerja sebagai buruh di sekitar Bangi, Kajang, Dengkil dan Putrajaya.

Tinjauan ke kawasan tiada bekalan elektrik atau air sejak negara ini merdeka turut mendapati beberapa menara bangunan Kerajaan Persekutuan di Presint 4, jelas kelihatan daripada kampung Orang Asal itu.

Perkara itu sekali gus menimbulkan persoalan berhubung komuniti Orang Asal yang tinggal bersempadanan dengan Putrajaya, yang mana jelas tercicir daripada arus pembangunan.

Tiada ulasan: