Rabu, 30 Mac 2016

'Kami hanya mampu berserah kepadaNya'

 'Kami hanya mampu berserah kepadaNya'
Mereka tiba di Jeti Operasi Maritim, Tok Bali jam 1.30 pagi tadi dengan disambut keluarga masing-masing dan rakan-rakan.
PASIR PUTEH - "Kami tidak boleh berbuat apa-apa, hanya mempu berserah dan membiarkan bot hanyut mengikut arus angin bagi mencari rangkaian telekomunikasi yang terputus," kata Mohd Zaidi Yaacob, 41, salah seorang daripada lapan pemancing yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing berhampiran pelantar minyak Lawit, Jumaat lalu.

Mohd Zaidi berkata, mereka bersama tiga kru bot mengambil keputusan untuk ke lokasi lain kerana laut bergelora menyebabkan tiga atau empat rakan tidak dapat memancing.

Katanya, ketika mencari lokasi selamat seperti sekitar Pulau Perhenian, enjin bot mula berasap tapi tekong meneruskan juga perjalanan.

"Kira-kira jam 4 petang Sabtu, enjin bot mati, bot kami mula hanyut dan lebih mencemaskan apabila rangkaian telekomunikasi terputus, ada ketika kami menerima isyarat dari rakan di darat tetapi mereka tidak dapat menerima isyarat kami.

"Kami membiarkan bot hanyut dengan harapan 'menemui' rangkaian 'radio' Sukarelawan Perikanan (Super) untuk kami memaklumkan kedudukan kami," katanya.

Mohd Zaidi bersama rakan-rakannya, Zakaria Kadir, 54, Mohd Suhaimi Abdul Kadir @ Ghazali, 34, Nik Mohd Shukri Nik Mustafa, 49, Mohd Zaidi E, 30, Mohd Shariful Aidi Zakaria, 31, Suhaimi Mat Jusoh, 33 dan Mohd Faizal Abdul Rahman, 31, keluar ke laut dari Pengkalan Petah, Bachok untuk memancing Jumaat lalu.

Mereka yang dikatakan memancing di lokasi kira-kira 65 batu nautika, timur laut Tok Bali hanyut bersama tekong bot, Ramli Yusoff, 50 dan dua kru dikenali sebagai Yaakub Taib, 62 dan Fauzi Abdullah, 45, itu ditemui bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) jam 10.40 malam tadi.

Mereka tiba di Jeti Operasi Maritim, Tok Bali jam 1.30 pagi semalam dengan disambut keluarga masing-masing dan rakan-rakan.

Tiada ulasan: