Ahad, 13 Mac 2016

‘Kami enggan menaruh harapan’

‘Kami enggan menaruh harapan’


PERNU - Pengusaha bot di jeti Pengkalan Umbai-Pernu, di sini enggan menaruh harapan tinggi berhubung rancangan kerajaan mahu membangunkan Pulau Besar dalam usaha menjadikannya sebagai salah satu destinasi pelancongan terkenal.

Menurut mereka, irama dan lagunya tetap sama setiap kali bertukar kepimpinan negeri sejak era tahun 80-an lagi apabila sesiapa sahaja yang menjadi ketua menteri, pasti punyai rencana besar terhadap pulau berkenaan namun ia tidak pernah menjadi.

Katanya, bermula era Tan Sri Rahim Tamby Chik kemudiannya Allahyarham Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani, Datuk Seri Abu Zahar Isnin dan Tan Sri Mohd Ali Rustam sehingga kini, Datuk Seri Idris Haron, masing-masing tidak pernah terkecuali merancang pembangunan Pulau Besar.

Pengusaha bot, Md Zin Md Deros, 72, berkata, dia masih bimbang terhadap rancangan kerajaan negeri itu sekiranya ia sekali lagi tidak menjadi.

Menurutnya, setakat ini yang nampak hanyalah sedikit pembangunan yang dilaksanakan tokoh perniagaan terkenal Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah di samping pembangunan pusat tahfiz di bawah kerajaan negeri.

Katanya, sedikit harapan juga apabila tersergamnya kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membekalkan elektrik ke keseluruhan pulau berkenaan bagi menggantikan generator kuasa minyak diesel yang selama ini digunakan.

“Susah kami nak katakan terhadap pembangunan Pulau Besar yang dirancang kerajaan baru-baru ini, apatah lagi kami di sini diselubungi kebimbangan terhadap projek menaik taraf Medan Ikan Bakar Pernu yang pastinya akan menjejaskan perniagaan kami di sini.

“Projek di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) itu dikhabarkan bermula bulan depan dan sudah pasti laluan di sini akan ditutup bagi kerja-kerja itu. Ia sekali gus akan menutup periuk nasi kami selama berbulan-bulan. Sedangkan, sumber pendapatan kami semata-mata bergantung kepada hasil bot pelancong ke Pulau Besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi pengusaha bot ke Pulau Besar, Shukri Ahmad, 48, mencadangkan supaya lebih elok kerajaan negeri menaik taraf Perkampungan Ikan Bakar Terapung (PIBT) di Umbai dengan menjadikannya sebagai pengkalan bot penumpang ke Pulau Besar.

“Di PIBT ruang letak kereta untuk pengunjung lebih luas berbanding di sini yang sempit dan terhad. Bila Medan Ikan Bakar di Pernu sudah dinaik taraf, semakin terhadlah untuk pengunjung letak kenderaan.

“Lagipun, di jeti Umbai-Pernu kami sering berdepan masalah air pasang surut yang tidak menentu berbanding jeti di PIBT yang tidak begitu.

“Justeru, bagi keselesaan, kami berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan cadangan ini,” katanya.

Setakat ini terdapat lebih 20 buah bot yang beroperasi bagi membawa penumpang ke Pulau Besar.

Terbaru, kerajaan negeri mengumumkan akan memperuntukkan sejumlah RM10 juta sebagai bajet awal bagi penyelenggaraan dan pembinaan kemudahan di Pulau Besar dalam usaha mempromosikan pulau berkenaan sebagai salah satu destinasi pelancongan.


Tiada ulasan: